25 Feb 2014

Sinopsis Novel 6:20


NOVEL "6:20" (Tingkatan 3 Zon Utara) 


Akhirnya, novel komsas tingkatan 3 yang baharu muncul juga. Konsep novel berdasarkan zon masih kekal. Bagi zon utara yang merangkumi Perlis, Kedah, Perak dan pulau Pinang, judul novel Bahasa Melayu ialah "6:20" karya Siti Jasmina Ibrahim, manakala novel Bahasa Inggeris ialah The Railway Children, iaitu naskhah asal Edith Nesbit yang diceritakan semula oleh  John Escott.

"6:20" merupakan terbitan Utusan Publications berharga RM9.10, manakala The Railway Children terbitan Zirwan Sdn. Bhd. dan Oxford University Press pula berharga RM3.90. Novel "6:20" mengandungi 19 bab dengan sejumlah 246 muka surat, tidak termasuk kulit hadapan dan belakang. The Railway Children pula setebal 72 halaman tidak termasuk kulit buku.


Novel "6:20" ditulis oleh penulis profesional sepenuh masa, iaitu Siti Jasmina Ibrahim, yang memperoleh ijazah sarjana muda komunikasi dengan kepujian kelas pertama dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan diploma penulisan kreatif (juga dengan cemerlang) dari Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Beliau telah menerima pelbagai anugerah penulisan kreatif sama ada di dalam, mahupun di luar negara. Hampir semua genre sastera, iaitu cerpen, novel dan skrip drama, filem, teater dan televisyen turut beliau hasilkan.

Ciri unik novel ini bukan sahaja kerana judul "6:20" yang merujuk pukul 6.20 pagi, bahkan setiap bab menggunakan nama-nama hari dalam seminggu. Separuh daripadanya pula mencatatkan masa lebih khusus, iaitu pagi, petang atau malam. Hanya bab 11 yang berjudul "Sabtu Lagi" dan bab akhir, 19 dengan judul "Hari Ini" merupakan pengecualian.

Pada helaian ketiga novel terdapat sinopsis novel sepanjang lima perenggan. Watak utama ialah Sukma, atau nama penuhnya Nur Sukma binti Haji Syaqir (baca muka surat 8), mahasiswi pintar sebuah universiti awam tempatan. Kisah yang berkisar dalam tempoh seminggu (tujuh hari, muka surat 234) mengingatkan kita tentang novel hebat "Keluarga Gerilya" karya Pramoedya Ananta Toer yang lebih pendek masanya, iaitu 3 hari 2 malam sahaja.

Sukma curiga dengan kehadiran tetamu di hadapan pagar banglo keluarganya setiap 6.20 pagi, kemudian lesap tanpa sempat disapa. Sukma berusaha merungkai misteri itu, tetapi nyata membabitkan ibu dan rakannya sendiri. Plot cerita ditulis dengan begitu baik dan dramatik, dan berakhir dengan penuh emosi apabila Sukma pasti tentang peranan sebenar ibu dalam kumpulan WX2.

Erti Sebuah Pengorbanan: Sinopsis

Erti Sebuah Pengorbanan: Sinopsis

Iman Zulaikha merupakan seorang pelajar tingkatan satu. Setelah bapa dan ibunya bercerai, Iman berpindah dan tinggal bersama-sama datuk dan neneknya di kampung. Iman menyimpan cita-cita yang tinggi agar dia dapat menyatukan semula ibu dan bapanya. Iman dan Pei Wen merupakan pasangan sahabat yang rapat sama ada di sekolah atau di rumah. Kedua-duanya sering mencurah rasa dan sama-sama berbincang bagi menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi. Setiap hari apabila sampai di rumah, Iman akan membaca dan menghantar e-mail kepada ibunya yang berada di New Zealand. 

Di sekolah, Iman merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan sering dikagumi oleh pelajar-pelajar yang lain. Namun, Linda sering menimbulkan masalah dan tidak mahu berbaik-baik dengan Iman. Kehadiran pelajar baharu, iaitu Adif Danial ke sekolah mereka menambah lagi rakan Iman termasuk Zulkarnain. Pernah pada suatu ketika Linda menolak Iman sehingga terjatuh dari tangga gara-gara Iman tidak mahu menarik diri daripada pertandingan pidato yang mereka sertai. Berkat kegigihan dan ketabahannya berlatih, Iman berjaya menjadi juara dan bakal mewakili sekolahnya dalam pertandingan pidato peringkat daerah.

Kehadiran ayahnya secara tiba-tiba pada suatu hari mengganggu ketenangan Iman. Ayahnya memberitahu bahawa dia ingin berkahwin dengan Puan Sofia, ibu Adif Danial. Ketika berjumpa Yusri di sekolah, Adif Danial terkejut dan menyedari bahawa Yusri ialah bapa Iman. Hal ini menyebabkan Adif Danial memberontak dan menjauhkan diri daripada Iman, Pei Wen dan Zulkarnain tetapi merapatkan diri dengan Linda. 

Oleh sebab kedua-dua anak mereka tidak bersetuju, Yusri dan Puan Sofia tidak jadi berkahwin. Iman kembali mesra dengan ayahnya. Iman menjadi juara pidato di peringkat daerah. Pertandingan ini turut disaksikan oleh ayahnya. Kejahatan Linda terbukti apabila dia ditangkap kerana mencuri diari dan teks pidato Linda. Namun, Iman memaafkan Linda.

Berita gembira disampaikan oleh ayah Iman. Ayahnya mengajak Iman, datuk dan neneknya pergi ke New Zealand untuk bertemu dengan ibunya. Hal ini amat menggembirakan Iman.

Sinopsis Novel Hikmah

Novel 'Hikmah' karya Mohd Faris Ikmal telah dipilih sebagai teks komsas tingkatan satu zon utara semenanjung mulai tahun 2010. Karya sepanjang kira-kira 12,000 patah perkataan itu sememangnya bersesuaian dengan tahap murid yang baru memulai persekolahan menengah. Penceritaannya mudah difahami, manakala hanya tiga watak penting ditonjolkan, iaitu Amri, Sapura dan emak Amri.

Novel 'Hikmah' edisi murid berkenaan dibahagikan kepada 10 buah bab dalam 78 muka surat sahaja. Selain itu,  terdapat tiga halaman glosari, sehalaman biodata pengarang dan 6 muka surat berhuruf roman sebagai lembaran-lembaran pengenalan. Setiap bab pula memperuntukkan sehalaman penuh ilustrasi bagi mewujudkan kesan imaginasi yang konkrit bagi murid yang membaca novel.
Kulit hadapan novel 'Hikmah' memaparkan ilustrasi watak Amri dan Sapura. Bahagian kulit belakang pula dihiasi dengan pengenalan ringkas novel, sambil berlatarbelakangkan tiga ekor pepatung di sebuah taman yang menghijau.  Novel terbitan V-Nice Resources itu dijual pada harga rak RM6.70 senaskhah.

Sinopsis

Novel 'Hikmah' mengisahkan tentang Amri, seorang murid yang bermasalah keluarga disebabkan oleh sikap ayahnya yang suka berjudi dan terbabit dengan dadah. Di rumah, Amri ialah anak yang penyayang, serta sangat bersimpati dengan nasib emaknya yang sering menjadi mangsa peras ugut  ayahnya. Bagi melepaskan tekanan itu, Amri bertukar watak membuli murid lain dengan mengutip wang perlindungan. Sapura, seorang pengawas menjadi penghalang kegiatan Amri. Sapura terjatuh ke dalam sawah gara-gara basikalnya terbabas dek perdayaan Amri. Namun, peristiwa Amri dibelasah oleh dua orang penyamun ketika balik dari farmasi di bandar menjadi titik tolak perubahan sikap Amri. Nasib Amri begitu baik justeru Sapura yang mengekorinya berjaya menghubungi pihak polis. Ayah Sapura juga telah membawa emak Amri ke hospital, dan kemudiannya Amri sendiri. Ayah Amri pula ditahan di penjara, lalu insaf. Keluarga Amri dan keluarga Sapura menjadi akrab.


Watak:
Watak utama 

Amri

Sapura

Emak Amri

Watak sampingan

Ayah Amri

Ayah Sapura

Pak Dollah

Rozita

Siva

Salleh

Cikgu Salman