19 Apr 2011

Karangan:Laporan Lawatan Sambil Belajar ke Kilang Coklat Cadbury

Persatuan Geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Saint George telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kilang Coklat Cadbury yang terletak di Shah Alam pada 15 Jun 2008. Rombongan ini terdiri daripada empat puluh orang ahli Persatuan Geografi dan tiga orang guru pengiring, yakni Puan Saloma, Puan Zubaidah, dan Puan Siti Muqalmah. Seawal lapan pagi lagi, para pelajar dan guru yang terlibat sudah menaiki bas yang disewa khas oleh ahli jawatankuasa lawatan ini. Perjalanan mengambil masa tiga puluh minit sahaja kerana antara jarak sekolah dengan kilang tersebut hanya 20 kilometer.

Sebaik-baik sahaja tiba di kilang tersebut, rombongan kami disambut dengan tangan terbuka oleh pengurus pemasaran dan promosi, Encik Soo Ming Lei. Encik Soo telah membawa kami ke bilik mesyuarat yang terletak di tingkat tiga Wisma Cadbury. Di dalam bilik mesyuarat itu, kami diberi penerangan sejarah penubuhan kilang coklat secara ringkas tapi jelas. Selepas mendengar taklimat, ahli rombongan pun bersemangat tinggi dan menanyakan pelbagai soalan yang berkaitan dengan kilang coklat tersebut. Hal ini demikian kerana mereka perlu menyediakan laporan lawatan ini.

Program pascataklimat ialah memulakan lawatan ke bahagian memproses coklat. Kami dibawa ke bahagian paling penting, yakni zon penyediaan. Di kawasan itu, kami diberi pakaian berupa tudung kepala, penutup mulut, dan sarung tangan. Langkah penyediaan yang bersih dan selamat adalah penting kata Encik Soo kerana pihak kilang amat mementingkan soal kualiti coklat. Hal ini demikian kerana kebersihan menjamin mutu makanan yang disediakan. Kami melihat sendiri biji koko panggang dikisar dengan sebuah mesin. Selepas itu, koko yang lumat dimasak bersama gula dan susu yang diimport khas.

Selepas proses penyediaan selesai, coklat dalam bentuk cecair pekat yang mencapai kepanasan seratus lima puluh darjah itu disalurkan ke paip besar yang menuju ke bahagian pemprosesan coklat prapembungkusan. Di bahagian itu, kami dapat melihat pelbagai jenis coklat berjaya diproses dengan mesin yang canggih. Mesin itu seterusnya menghantar jongkong-jongkong coklat yang sudah siap diproses menuju ke peringkat pembungkusan mengikut saiz dan perisa. Di bahagian ini, bilangan pekerja yang banyak diperlukan untuk menyudahkan proses pembungkusan sehingga proses akhir, penyimpanan.

Sepanjang lawatan di bahagian penyediaan, kami telah mengemukakan soalan tentang kepentingan penyediaan makanan yang selamat. Sepanjang dua jam lawatan, kami berasa teruja dan berpuas hati dengan penerangan yang disampaikan. Walau bagaimanapun, kami berasa penat kerana kawasan pemprosesan kilang ini amat besar. Di bilik mesyuarat, kami diberi taklimat multimedia berkaitan perancangan masa depan kilang coklat ini. Daripada taklimat multimedia ini, kami berasa kagum akan semangat pengurusan syarikat ini yang memegang para prinsip “genggam bara api biar jadi abu”.

Sebelum mengakhiri lawatan, Pengarah Urusan Kilang Cadbury telah meluangkan masa untuk berjumpa dengan ahli rombongan sekali gus menyampaikan cenderahati kepada kami. Selain itu, kami juga diberi baucar istimewa untuk membeli coklat dengan potongan harga sebanyak dua puluh hingga empat puluh peratus. Selepas bersalam dengan tuan pengarah, kami pun menuju ke kedai coklat yang terletak di sebelah pintu besar kilang itu. Ahli rombongan yang selesai membeli coklat bersiap sedia menaiki bas untuk pulang ke sekolah.

Rombongan ini tiba di sekolah pada pukul dua belas tengah hari. Cikgu Saloma yang bertugas menjaga disiplin pelajar berpuas hati dengan kelakuan ahli rombongan walaupun ada segelintir daripada mereka yang mulut murai. Akhirnya, murid-murid pun pulang ke rumah masing-masing. Lawatan sambil belajar seperti ini amat bermanfaat kepada pelajar. Selain mendapat ilmu dan pengalaman, kami juga berjaya menimba pengetahuan tentang pengurusan kilang. Hal ini ibarat sambil menyelam minum air. Kami berharap lawatan umpama ini akan dijadikan agenda tahunan Persatuan Geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Saint George.

Laporan disediakan oleh,
20 Februari 2011.

SHAFIQ(Muhammad Shafiq bin Abdul Razak)
Setiausaha Persatuan Geografi
Sekolah Menengah Kebangsaan Saint George.

11 Apr 2011

Karangan:Kasih Sayang Ibu Bapa Berkesan Mendidik Anak

    Wujudkah ibu bapa yang tidak sayangkan anak ? Semestinya, semua ibu bapa sanggup berkorban demi kebahagiaan anak mereka. Tetapi, persoalannya adakah semua ibu bapa hari ini menyayangi anak dengan cara lebih tepat ? Dalam hal ini, ada ibu bapa sekarang melakukan kesilapan. Ada menganggap cara ibu bapa dulu mendidik anak tidak betul dan kolot, lalu terus menolak semua, sedangkan cara dulu tidak semua salah atau tidak sesuai lagi.
    Ada pula beranggapan cara didikan ibu bapa dulu adalah betul, lalu terus menggunakan semua, sedangkan mungkin ada antaranya tidak sesuai dengan keadaan sekarang. Manakala, ada pula disebabkan ingin mencari cara kontemporari, lalu dengan mudah mengguna pakai cadangan dikemukakan buku atau penceramah, tanpa melakukan penelitian, tapisan atau kefahaman yang mendalam. Kebanyakan isu keibubapaan timbul dalam konteks hubungannya dengan anak yang berada pada usia remaja. Sesetengah remaja menunjukkan perlakuan sukar difahami dan tidak pernah dibayangkan ibu bapanya. Ada ketikanya remaja memilih pakaian dan muzik pelik, emosi berubah-ubah seperti keras dan pendiam, malah mungkin kurang menghormati ibu bapa. Lazimnya, ibu bapa diingatkan mengenali dan memahami psikologi anak remaja. Ibu bapa diberitahu bahawa remaja berada dalam zaman transisi dan bergelut untuk berpaut pada zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan yang bakal ditinggalkan sambil memasuki alam dewasa yang penuh tanda tanya. Orang tua dimaklumkan bahawa anak remaja sedang berada dalam paradoks. Tetapi, ibu bapa jarang diingatkan untuk mengenali dan memahami paradoks yang sedang berlaku dalam dirinya sendiri. Bahawa mereka sendiri mencari keseimbangan antara memberikan kasih sayang dan menetapkan sesuatu untuk anak remajanya.
    Sebenarnya, kasih sayang ibu bapa yang ideal ialah memberikan anak remajanya keseimbangan antara kebebasan dan disiplin. Jika disiplin terlalu banyak dan ketat, remaja akan memberontak. Sebaliknya, jika terlalu banyak kebebasan, remaja dahagakan struktur tertentu dan mencarinya sendiri dengan cara belum tentu baik. Oleh itu, ibu bapa perlu membuat pelbagai keputusan mengenai anaknya, misalnya, daripada boleh atau tidak menonton televisyen, hinggalah kepada boleh atau tidak mempunyai teman lelaki atau perempuan. Semakin anaknya menginjak dewasa, maka keputusan itu semakin besar dan penting. Ada keputusan perlu dibuat setiap hari dan ada keputusan perlu dibuat pada tempoh tertentu.
    Selain perlu mengenali dan memahami anak remajanya, ibu bapa harus mengenali dan memahami dirinya sendiri terlebih dulu. Umumnya, ahli psikologi merumuskan ada dua komponen utama dalam gaya keibubapaan. Yang pertama ialah ‘responsif’, iaitu sebanyak mana kebebasan diberikan, manakala kedua ialah ‘permintaan’, iaitu sebanyak mana disiplin atau hala tuju akan ditentukan. Dengan kata lain, ibu bapa berdepan dengan paradoks: antara kasih sayang dan kepemimpinan. Kasih sayang ialah responsifnya terhadap kehendak anak remajanya, manakala kepemimpinan pula ialah permintaannya terhadap keperluan masa depan anak remajanya. Pertembungan, dinamika dan keseimbangan antara kedua-dua komponen ini dapat menentukan gaya keibubapaan. Kebanyakan pengkaji membahagikan gaya keibubapaan kepada empat kategori, iaitu: autoritarian, autoritatif, permisif dan tidak terbabit. Ibu bapa yang autoritarian rendah responsifnya, tetapi amat tinggi permintaannya. Walaupun mereka pengasih dan penyayang, anak remajanya tidak merasainya. Kebebasan hampir tidak diberikan dan pendapat anak remaja jarang didengar. Sebaliknya, disiplin amat ketat, malahan cita-cita anak remaja ditentukan ibu bapa.
    Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritarian berkemungkinan besar berjaya dalam peperiksaan dan kerjayanya, tetapi mungkin memiliki peribadi yang kaku, rendah harga diri dan terlalu bergantung kepada arahan pihak berkuasa. Ibu bapa yang autoritatif pula mempunyai keseimbangan antara responsif dan permintaan. Mereka akrab, komunikatif dan anak remaja digalakkan bersuara. Kasih sayang diberikan, ditunjukkan dan dirasai. Disiplin dan hala tuju ditentukan dan diterangkan rasionalnya. Remaja bebas menentukan cita-cita dengan ibu bapa memberikan panduan dan bimbingan.
    Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritatif berkemungkinan besar akan sama kejayaannya, walaupun tidak lebih, dengan dibesarkan dalam suasana autoritarian. Bezanya golongan ini akan memiliki peribadi bersepadu, yakin, berdikari dan kreatif. Ibu bapa permisif mempunyai responsif amat tinggi, tetapi permintaan amat rendah.  Mereka banyak bertolak ansur, memberikan kebebasan dan hampir semua kehendak anak remajanya diturutkan. Gaya tidak terbabit pula hampir tiada permintaan, disiplin dan hala tuju, serta hampir memberikan kebebasan penuh. Malahan, ia lebih satu kecuaian keibubapaan.
    Namun begitu,  gaya keibubapaan boleh dirosakkan dengan amat mudah, sekiranya ibu bapa tidak dapat mengawal perasaan marah. Jadi, ibu bapa perlu tahu cara menangani kemarahannya. Dalam hal ini, ada tiga persoalan penting iaitu: bila marah itu wajar, bila marah tidak diperlukan dan bila marah itu boleh menjadi masalah. Walaupun, mungkin sukar melahirkan seorang kaunselor profesional atau pra kaunselor dalam setiap keluarga,  program Satu Keluarga Satu Kaunselor tetap mempunyai potensi untuk melahirkan ibu bapa berilmu, berkemahiran dan seimbang dari segi memberikan kasih sayang dan kepemimpinan.

Sumber:MindaBahasa

Karangan:Kewajaran Larangan Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah

    Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan dan menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih dapat membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia. Sehubungan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit dan sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita.
    Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa digunakan. Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di mana-mana pun hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit juga memperkenalkan perkhidmatan mesej pendek. Oleh itu, kita dapat menghantar berita dengan telefon bimbit, bukan lagi menggunakan perkhidmatan pos yang lambat dan berkos tinggi. Perkhidmatan ini lebih menjimatkan masa dan wang. Oleh itu, banyak orang menggunakan telefon untuk perkhidmatan ini. Selain itu, kamera serta pemain muzik juga telah dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin canggih hingga boleh melayari laman web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G.
    Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana mudah dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon bimbit termasuklah murid-murid sekolah rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka dapat membuat apa-apa sahaja serta dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan kemudahan telefon bimbit, mudah sahaja hendak menghubungi mereka. Sebagai akibatnya, banyak murid akan membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan.
    Langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah memang tepat. Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka akan menunjuk-nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap materialistik wujud dalam diri pelajar yang masih berusia muda itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit juga akan berasa tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang mempunyai telefon bimbit. Mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati dan akhirnya mereka mungkin mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa menguruskan kes kecurian sehingga menyebabkan proses pembelajaran terganggu. Soalnya, adakah patut kita membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai penyiasat kecurian telefon bimbit?
    Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar kerana mereka akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon bimbit, proses pembelajaran dan pengajaran akan mengalami gangguan. Semasa ujian, pelajar juga boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil terhadap pelajar lain. Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat mengambil gambar serta mendengar lagu kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak patut berlaku di sesebuah sekolah. Selain itu, dengan menggunakan telefon bimbit, pelajar-pelajar dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip video yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut dengan rakan. Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat.
    Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses tumbesaran. Telefon bimbit tidak sesuai digunakan oleh murid-murid yang berusia muda kerana akan menjejaskan kesihatan mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak. Mencegah itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila kesihatan sudah terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah diingatkan berkali-kali tentang kesan gelombang telefon itu.
    Tuntasnya, langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah sememangnya merupakan langkah yang bijak. Melalui perbincangan saya di atas, kita dapat mengetahui impak penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan perkara-perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti kerana telefon bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi.

Sumber:MindaBahasa

5 Apr 2011

Karangan:Pencemaran Sungai


Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid  melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.
Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka  diami adalah milik mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.    
Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran,   Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam  Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun  kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun,  jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian.  
Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan sampah. Kalau  diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai. Ramai ketika itu  menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis.  Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi  menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.
Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang  ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.
Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap diteruskan.  Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya,  apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.
Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.

Karangan:Gejala Merokok Dalam Kalangan Remaja

Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.
Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.
Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan.
Kempen antimerokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji. Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja.
Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.

Karangan:(Pendapat) Isu Dadah

Apabila anda merdengar ungkapan “Enam Jahanam”, apakah yang mungkin anda fikirkan ? Adakah itu judul sebuah filem klasik P. Ramlee atau nama kumpulan penjenayah yang diburu oleh pihak polis ? Rupa-rupanya, ungkapan itu merujuk kepada enam jenis dadah yang harus diberi perhatian serius kerana penyalahgunaannya yang meluas – heroin, kokain, ecstasy, kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu melancarkan “Karnival Enam Jahanam”, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa isu dadah di negara kita  berada pada tahap yang berbahaya. Oleh itu, kerajaan mengisytiharkan dadah harus diperangi hingga ke akar umbi kerana dadah merupakan musuh nombor satu negara.Apakah sebenarnya dadah ? Dadah yang fungsi asalnya ialah bahan perubatan merupakan bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan ke atas sistem saraf pusat seperti menyebabkan keadaan khayal, ketagihan dan gangguan tingkahlaku. Penyalahgunaanya yang berterusan mendatangkan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.  
Pada akhir tahun 1960-an, negara  kita   mulai  mengalami  masalah  dadah   Golongan remaja  dipengaruhi oleh kebudayaan ‘hippie’ dan askar-askar Amerika  yang melancong ke Pulau Pinang. Sebagai kesan daripada kedua pengaruh tersebut, penagihan dadah telah merebak ke seluruh negara. Golongan  muda  yang  terlibat dalam  penagihan  dadah merupakan  pemuda- pemudi  harapan  bangsa  dan  negara  dan  terjerumusnya  mereka  dalam alam khayalan ini mengakibatkan  mereka bukan sahaja tidak berguna kepada  masyarakat  bahkan diri  mereka sendiri. Memandangkan hakikat inilah,  kerajaan  telah  mengambil  sikap tegas terhadap pengedaran  dadah, dan  mengambil  langkah-langkah yang perlu untuk melindungi rakyat termasuklah undang-undang yang  amat  ketat. Tetapi, pengedaran dadah nampaknya tidak boleh diselesaikan dengan hanya peruntukan undang-undang seperti Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985) walaupun mereka yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.  Oleh itu, kerajaan telah  melancarkan  kempen antidadah  di  seluruh  negara  secara  meluas.  Namun demikian,  tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya  kita  pikul  bersama.
Tindakan   pencegahan   dadah   yang   berkesan memerlukan  penglibatan semua golongan masyarakat. Pada zaman moden ini, golngan muda lebih  bebas,  terdedah kepada pengaruh asing dan mereka  lebih mengutamakan pandangan rakan sebaya. Dengan ini, mereka mudah terlibat dengan kegiatan yang  tidak  sihat. Untuk  disanjung oleh  kawan, mereka menunjukkan keberanian dengan  menghisap  rokok  dan  dadah. Sekali  mereka   bermula,   maka   amat  sukar  bagi  mereka memberhentikan amalan buruk ini.   Masyarakat harus dididik  sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh disentuh.  Sekiranya kita berjaya menyemai nilai ini dalam hati  sanubari  mereka, sebahagian daripada kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Kita  harus sedar bahawa tindakan kita ke arah matlamat mencegah penyalahgunaan dadah ini adalah untuk menyelamatkan bukan sahaja keluarga kita sendiri bahkan generasi muda untuk  mewujudkan  satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.
Sebahagian  besar penagih-penagih dadah  di  negara  kita  terdiri  daripada golongan remaja antara 15-29 tahun.  Antara  sebab-sebab utama  mereka  ini menjadi penagih ialah kerana keseronokan, sikap ingin tahu, pengaruh  persekitaran  terutamanya pengaruh rakan sebaya, tekanan emosi disebabkan oleh sama ada kegagalan, tidak mendapat kasih sayang  ibu  bapa atau kerana kemewahan. Hal ini menunjukkan, sekolah boleh memainkan peranan penting dalam membasmi bencana dadah. Pada tahun 2005 ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melancarkan program pencegahan penagihan dadah besar-besaran tahun ini dengan sasaran utama terhadap golongan belia terutama pelajar sekolah. Program pencegahan merupakan usaha terbaik bagi mengelak pertambahan jumlah penagih baru di negara ini. Menurut laporan agensi itu, sehingga Oktober tahun 2004, daripada sejumlah 30,659 penagih dadah, sebanyak 15,292 orang adalah penagih baru manakala sebanyak 15,667 adalah penagih berulang. Data ini jelas menunjukkan kita perlu bersungguh-sungguh dengan program pencegahan kerana program pemulihan dan rawatan sukar menghalang penagih-penagih ini mengulangi kegiatan mereka.
Kajian oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kegiatan penagihan dadah lazimnya bermula dengan tabiat menghisap rokok. Ini kerana tabiat ketagihan dihasilkan oleh unsur nikotin dalam rokok. Apabila merasakan rokok tidak memberi kepuasan, mereka beralih kepada ganja dan sekiranya ganja juga tidak memberi keseronokan, mereka akan beralih kepada heroin dan morfin. Jelasnya, pencegahan tabiat merokok juga penting dalam memerangi najis dadah kerana implikasinya terhadap dorongan untuk mendapatkan dadah.    
Masyarakat harus sama-sama menyedari akan kesan pengambilan dadah. Dengan berfikiran rasional,  mereka tentu tidak sanggup menerima risikonya yang menakutkan. Antara kesan-kesannya ialah mendapat penyakit meningitis, penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C, dan D, kerosakan buah pinggang, otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Jelasnya mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit terutamanya penyakit AIDS yang amat digeruni.  
Kesimpulannya, kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis dadah akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah kita sama-sama menghapuskan najis dadah yang “menjahanamkan” masyarakat daripada terus hadir di Malaysia.  Kita tiada pilihan melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu “Perangi Dadah Habis-Habisan”.

                                                                                                                               Sumber:MindBahasa

Karangan:(Ceramah) Isu Teknologi Maklumat

Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari segi teknologi maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang implikasi teknologi maklumat telah diadakan di tempat anda. Selaku seorang pengamal teknologi maklumat, anda diminta memberikan ceramah dalam majlis pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks ceramah itu.
Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Pada era ‘dotcom’ ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi media. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di suratkhabar baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multi media dalam bidang pendidikan.
Hadirin yang budiman,
Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang ‘e-niaga’ atau ‘e-commerce,’ cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa Melayu sebagai emel!). Kini ‘www.sesuatu.com.my’ bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di suratkhabar yang mengkhabarkan seorang surirumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel! Justeru, jelas bahawa perkembangan multi media membawa kesan positif dari aspek perniagaan.
Hadirin yang dimuliakan,
Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan multi media secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya emel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan multi media. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multi medianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa pembangunan multi media membolehkan Malaysia “berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah” dengan negara-negara maju yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan berbagai-bagai kaum. Bukankah multi media satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?
Hadirin sekalian,
Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar dibendung oleh sesiapa.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.
Hadirin yang dikasihi,
Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi menwujudkan huru-hara di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan negatif multi media yang boleh mengheret rakyat ke kancah perang sivil dan kaum wajiblah dielakkan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.
Sekian, terima kasih.

Karangan:Masalah Pengangkutan Awam di Negara Kita

Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
          Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam tersebut.
        Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasai.
          Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
          Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
          Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
          Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.

Karangan:Semangat Kejiranan

Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.

             Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

             Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

             Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.

             Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.

             Kepentingan semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan semangat perpaduan. Dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini pemupukan konsep perpaduan amat strategik. Sesuatu masyarakat sesebuah negara itu terbentuk daripada individu yang saling berjiran sebelum berkembang menjadi satu umah. Oleh itu, semangat kejiranan menjadi titik tolak pembentukan konsep perpaduan nasional.

             Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?

1 Apr 2011

Komsas:Gema Sepi Gadis Genius(Ting.2)





Sinopsis

   Fikiran Basirah kian kusut.Dia berdepan dengan masalah ''busut'' dalam sistem komputer di Makmal Perdana,tempat dia sedang menjalani latihan praktikalnya.Dalam kekusutan fikirannya itu,Basirah terkenang akan kakaknya,Hanani.Basirah mengalami masalah egoisme sebagai seorang kanak-kanak genius.Basirah berasa tidak senang apabila Hanani mengeluh apabila melihat dirinya pergi bekerja pada hari minggu.Basirah menganggap Hanani tidak memahami dirinya.Basirah tidak pasti sama ada sikapnya itu memperlihatkan keangkuhannya.Namun pada waktu yang sama,dia teringin menjadi seperti Hanani yang banyak mempunyai kawan dan bergembira dengan pelbagai rutin harian.

   Namu demikian,Basirah tidak boleh berbuat seperti Hanani kerana gadis genius mesti sentiasa kelihatan serius seperti orang dewasa.Tambahan pula dia sering menjadi perhatian.Bagaimanapun,kadangkala Basirah teringin juga mengisi masa terluang dengan mencari maklumat tentang cara-cara untuk menjalinkan persahabatan.Namun,usahanya itu tidak sampai ke mana kerana dia sentiasa sibuk belajar dan bekerja serta memerah otak.Basirah tiba-tiba terkenang akan hari pertama dia menjalani latihan praktikalnya semasa berusia 13 tahun.Namun sepantas itu juga perhatiannya kembali kepada masalah ''busut'' yang dilonggokkan oleh pengurusnya tadi.Memang terdapat paparan data yang mencurigakan dan terlalu rumit untuk ditafsirkan.Namun,Basirah optimis.Dia tidak mudah mengaku kalah.Dia berusaha untuk mengesan penceroboh sistem komputer itu.
  
   Tiba-tiba Basirah teringat lagi akan ''busut'' yang lain itu.''Busut'' yang bermula daripada sebesar butir padi,kemudian melanda saluran-saluran darah di payudara ibunya.Akhirnya ibunya tewas dan kembali ke rahmatullah.Lamunan Basirah terhenti apabila beberapa orang remaja linkungan 12-15 tahun hadir di makmalnya.Salah seorang daripada remaja itu ialah kakaknya,Hanani yang datang untuk meraikan hari jadi Basirah yang ke-14.Mereka turut membawa sebiji kek.

   Semua remaja yang hadir menghulurkan bantuan kepada Basirah.Ada antara mereka yang mempunyai saudara,kawan,atau peminat ''surat elektronik'' di luar negara.Basirah terharu.Alat osiloskop dipasang.Panggilan kepada ''kawan elektronik'' dibuat dan balasan e-mel dari luar negara di seluruh dunia diterima.Basirah turut kagum akan cadangan Hanani.Basirah sedar bahawa tidak semua orang pakar dalam semua subjek.Akhirnya,maklumat tentang penangkapan si penceroboh itu mulai tersebar dalam internet.


Tema


   Sikap individualisme boleh menimbulkan permasalahan dalam kehidupan.Basirah menghadapi masalah dalam hidupnya kerana tidak banyak mempunyai kawan lantaran dia merupakan gadis genius.


Persoalan


a) Masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak genius.
    Basirah merupakan seorang kanak-kanak genius.Hal ini menjadikan kematangan inteleknya mendahului
    umur biologinya.Sebagai akibatnya,dia tidak selesa bergaul dengan kawan-kawan sebaya dengannya.
b) Sukar untuk bergaul dengan orang lain.
    Basirah menghadapi masalah untuk bergaul dengan orang yang lebih berusia daripadanya kerana
    pemikirannya masih lagi di tahap remaja.
c) Sikap gemar memandang rendah terhadap kebolehan orang lain.
    Kedua-dua orang timbalan pengurus di makmal komputer itu memandang rendah akan kebolehan
    Basirah walaupun Basirah merupakan gadis genius.
d) Sikap keakuan dalam menjalani kehidupan.
    Kepintaran Basirah yang luar biasa disertai sikapnya yang ego telah menyebabkan dia hidup terasing
    dan kesunyian kerana tidak mempunyai kawan.
e) Menghargai kebolehan orang lain.
    Basirah akhirnya menghargai kebolehan kakaknya,Hanani semasa membantunya untuk menyelesaikan
    masalah sistem komputer di makmal itu yang diceroboh.

Watak


a)Watak utama dalam cerpen ini ialah Basirah.
b)Watak sampingan terdiri daripada Hanani,timbalan pengurus dan pensyarah Basirah.

Perwatakan


Basirah


a)Basirah gadis genius yang berusia 14 tahun.
b)Basirah siswi tahun akhir dalam jurusan Sains Komputer di sebuah institusi pengajian tinggi di Semenanjung.
c)Basirah menjalani latihan amali di Makmal Perdana.
d)Basirah dilantik sebagai timbalan pengurus di makmal komputer itu.
e)Basirah optimis dan gigih semasa melaksanakan sesuatu kerja.
f)Basirah tidak banyak mempunyai rakan sebaya.
g)Basirah suka hidup menyendiri.
h)Basirah bijak menangani tekanan.
i)Basirah dapat menerima pandangan orang lain.

Hanani


a)Hanani kakak kepada Basirah.
b)Hanani berusia 16 tahun.
c)Hanani seorang kanak-kanak biasa daripada segi kecerdasan otak.
d)Hanani mengambil berat tentang adiknya,Basirah.
e)Hanani periang
f)Hanani banyak mempunyai rakan sebaya.
g)Hanani lincah dan kreatif.

Timbalan Pengurus(2 orang)


a)Berusia dalam lingkungan 40-an.
b)Mencemburui kehadiran gadis genius,Basirah di Makmal Perdana.

Plot


Permulaan
Basirah merenung berbelas-belas komputer di Makmal Perdana. Namun tiadapun daripadanya berjudul program ‘antibusut’. Dalam keadan fikirannya yang sedang kusut, Basirah terkenang akan kakaknya, Hanani semasa mereka masih kecil lagi, semasa Hanani di tadika sehinggalah Basirah melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Komputer. Banyak perbezaan antara mereka berdua. Selain itu, Basirah juga teringat akan ayahnya yang sentiasa sibuk.

Perkembangan
Basirah menjalani  praktikal  dengan menduduki jawatan timbalan pengurus makmal sistem komputer Makmal Perdana. Seperti kebiasaan, Basirah tercabar dengan masalah ‘busut’ yang dilonggokkan oleh pengurus makmalnya. Basirah bersemuka dengan teman-temannya, para timbalan pengurus. Basirah membentangkan masalah busut. Namun, dia dikritik. Ada ketikanya Basirah berasa sebak tetapi dia tidak akan menganggap kritikan sebagai jemputan untuk betinju, sebaliknya sebagai satu alternatif. Oleh itu, dia telah membuka buku log untuk merekod penceroboh.

Klimaks
Basirah terkejut apabila penceroboh menyelongkar segala-galanya yang berkaitan dengan ketenteraan. Oleh itu, Basirah telah membawa masalah tersebut kepada teman sejawatnya. Basirah menganggap penceroboh tersalah sasaran. Sasaran penceroboh untuk menembusi  saluran internet di Makmal Perdana Kebangsaan Labuan atau MPKL. Di sini berlaku  perbezaan pendapat antara Basirah dengan  rakannya.  Akhirnya Basirah membuat ujikaji dengan menggunakan alat osiloskop bagi menentukan jarak antara makmal dengan penceroboh. Dengan bantuan pensyarahnya, kakaknya, iaitu Hanani dan rakan-rakan Hanani, mereka berjaya mengesan penceroboh tersebut.

 Peleraian
Basirah telah menerima ucapan tahniah atas kejayaan  menyekat penceroboh.  Akhirnya, Basirah menyaksikan impian untuk masa depan yang tidak pernah diimpikan selama ini menjadi kenyataan yang indah.


Latar


Masa  
Ø  Siang – Basirah menjalani latihan amali di makmal sistem komputer di Makmal
        Perdana
Ø  Malam – Hanani berbual-bual dengan Basirah di rumah
Ø  Hari minggu – Basirah terpaksa menyelesaikan kerjanya yang banyak di
       makmal sistem komputer, Makmal  Perdana

Tempat     
Ø  Makmal sistem komputer di Makmal Perdana – tempat Basirah menjalani latihan
        amali  tahun akhir jurusan Sains Komputer
Ø  Pusat bandar Kota Kinabalu – tempat letaknya Makmal Perdana
Ø  Sekolah kanak-kanak pintar – tempat Basirah belajar semasa zaman kanak-
        kanak
Ø  Institusi pengajian tinggi di Semenanjung – tempat Basirah belajar sebagai siswi
        jurusan Sains Komputer

Masyarakat
Ø  Masyarakat yang celik komputer – Basirah, pekerja di makmal sistem komputer, Makmal  Perdana, dan rakan-rakan Hanani mahir menggunakan komputer
Ø  Masyarakat  terpelajar – Basirah merupakan sisiwi tahun akhir jurusan Sains Komputer di sebuah institusi pengajian tinggi
Ø  Masyarakat remaja yang gemar akan aktiviti rekreasi – Hanani dan rakan-rakannya mengikuti aktiviti rekreasi seperti berdiskusi sastera di pantai, berkayak, dan mendaki gunung





Gaya Bahasa

1.    Metafora  
      Contoh: Meniti buih di jeram , mata fikir 
 2.    Diksi         
      Bahasa Inggeris -  hyperintelligent , the exterminator 
      Bahasa IT  -  Sotware , user , hacker 
      Istilah Sains -  Osiloskop 
 3.    Hiperbola
      Contoh: Menggunung secara halimunan juga 
  4.    Sinkope    
      Contoh: Dah (Sudah), Kak (Kakak)
 5.    Simplok    
      Contoh: Dipuji macam bidadari
      Contoh: Draikan macam puteri 
 6.    Perlambangan
      Contoh: Busut


Nilai

1.    Nilai kasih sayang
      Kakaknya menatang sebuah kek yang comel ke dalam makmal sempena hari jadi  
      Basirah yang ke-14.
 2.    Nilai berusaha
      Basirah telah berusaha menyekat penceroboh komputer sehingga telah berjaya.
 3.    Nilai bertanggungjawab
      Basirah bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan kepadanya.

Pengajaran

1.      Kita hendaklah mempunyai perasaan kasih sayang antara adik beradik walaupun mempunyai tahap kepintaran yang tidak sama.
2.      Kita hendaklah berusaha sedaya upaya apabila melakukan sesuatu pekerjaan.
3.      Kita hendaklah bertanggungjawab atas apa yang diberikan kepada kita.