26 Nov 2012

Tatabahasa : Ayat Tunggal


AYAT TUNGGAL.

Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi satu subjek dan satu predikat. Ayat tunggal terbina dalam berbagai-bagai jenis ayat sama ada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah , dan ayat seruan. Pembentukan ayat tunggal boleh terbina daripada subjek dan predikat yang terdiri daripada FN, FK, FA dan FS.


SUBJEK DALAM AYAT TUNGGAL.
(a)       Frasa nama sebagai subjek.
i.                    Tan Kong Joo pelajar sekolah.
ii.                  Buah itu masam.
iii.                Ibunya sakit.
iv.                 Motosikalnya telah rosak.
v.                   Balai raya ini untuk orang ramai.

(b)      Kata ganti nama diri sebagai subjek.
i.                    Dia anak bongsu.
ii.                  Beliau guru saya.
iii.                Dia adik Ragunathan.
iv.                 *Itu Bank Rakyat.
v.                   *Ini stesen bas.
(*rujuk kepada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 102)
Namun demikian, dalam penulisan karangan, murid tidak digalakkan memulakan ayat dengan kata ganti nama tunjuk.

(c)       Kata kerja sebagai subjek.
i.                    Membaca buku ialah hobinya.
ii.                  Bersenam dapat menyihatkan badan.
iii.                Menyanyi ialah kerjayanya.
iv.                 Mencuri perbuatan yang salah.
v.                   Minum air boleh menghilangkan dahaga.

(d)      Kata adjektif sebagai subjek.
i.                    Cergas bermakna badan sihat.
ii.                  Hijau warna kesukaannya.
iii.                Harum bau bunga melur itu.
iv.                 Tamak ialah amalan yang keji.

PREDIKAT DALAM AYAT TUNGGAL.
(a)       Frasa nama sebagai predikat
i.                    Encik Zulkifli pegawai polis.
ii.                  Kakaknya doktor mata.
iii.                Bangunan itu kediamannya.
iv.                 Bilik itu stor barang.

(b)      Frasa kerja sebagai predikat
i.                    Dia makan mi goreng.
ii.                  Anjing itu menyalak musuh.
iii.                Mereka tidur.
iv.                 Adiknya menangis.

(c)       Frasa adjektif sebagai predikat
i.                    Keropok ini sangat rangup.
ii.                  Rumah itu sangat besar.
iii.                Abangnya sangat bijak.
iv.                 Budak itu baik sungguh.

(d)      Frasa sendi nama sebagai predikat.
i.                    Buku ini untuk adik.
ii.                  Ayah ke Kuala Lumpur.
iii.                Beliau dari Universiti Sains Malaysia.
iv.                 Wajahnya seperti bintang terkenal itu.

Tatabahasa : Ayat Songsang


SUSUNAN AYAT SONGSANG

Susunan biasa ayat dalam bahasa Melayu ialah subjek + predikat. Ayat songsang pula terbentuk daripada proses transformasi ayat biasa. (subjek + predikat) . Penyongsangan dapat dilakukan melalui proses pendepanan bertujuan  memberikan penegasan kepada predikat.


Pendepanan seluruh predikat.

Cikgu Hanif / berfikiran kreatif. (susunan biasa)
Berfikiran kreatif / Cikgu Hanif. (susunan songsang)
Proses pendepanan berlaku juga pada ayat yang mengandungi kata penegas. (-lah, -tah, dan –kah)
Ibu saya / dia. (susunan biasa – ibu saya sebagai subjek)
Dialah / ibu saya. (susunan songsang)
Dia / ibu  saya. (X = dari segi susunan ayat songsang. Ayat ini gramatis dalam ayat susunan biasa tetapi subjeknya ‘Dia’)


Pendepanan sebahagian daripada predikat.

(a)       Pendepanan Frasa Kerja
i.                     Pendepanan kata kerja:
Ramli bekerja setiap hari. (susunan biasa)
Bekerja setiap hari Ramli. (susunan songsang)

ii.                   Pendepanan frasa kerja dengan objek.
Zaleha membaca buku. (susunan biasa)
Membaca buku Zaleha. (susunan songsang)

iii.                  Pendepanan kata kerja dengan kata bantu.
Murid-murid itu masih makan. (susunan biasa)
Masih makan murid-murid itu. (susunan songsang)
b)      Pendepanan Frasa Adjektif
                i.              Pendepanan kata adjektif sahaja.
                                Ramli rajin. (susunan biasa)
                                Rajin Ramli. (susunan songsang)

                ii.             Pendepanan kata adjektif dengan kata bantu.
                                Rumah Kak Zue masih teguh. (susunan biasa)
                                                Masih teguh rumah Kak Zue. (susunan songsang)

                iii.            Pendepanan kata adjektif dengan kata penguat.
                                Encik Zaidi sangat segak. (susunan biasa)
                                Sangat segak Encik Zaidi. (susunan songsang)

                iv.           Pendepanan kata adjektif, kata bantu dengan kata penguat
                                Haji Nasser masih segak amat. (susunan biasa)
                                Masih segak amat haji Nasser. (susunan songsang)
c)      Pendepanan Frasa Sendi Nama
                i.              Frasa sendi nama sebagai predikat.
                                Rantai emas itu untuk ibu. (susunan biasa)
                                Untuk ibu rantai emas itu. (susunan songsang)

                ii.             Frasa sendi nama sebagai keterangan dalam predikat.
                                Penonton-penonton merempuh masuk ke dalam dewan. (susunan biasa)
                                Ke dalam dewan penonton-penonton merempuh masuk. (susunan songsang)

FORMULA AYAT SONGSANG.

Ayat biasa:
Dia / membeli buku di kedai itu.
Cara Songsangan Ayat:                 
Nomborkan penggalan ayat.
1
2
3
Dia
membeli
buku
di kedai itu.
KGND - Ketiga
Frasa Kerja Transitif
Objek
Frasa Keterangan
Subjek
Predikat

FORMULA:
Ayat Biasa : 1+2+3
Ayat songsang:
i.        2+3+1
ii.       2+1+3
iii.      3+1+2
iv.     3+2+1






Ayat Biasa:
1
2
3
Dia
membeli buku
di kedai itu.

Contoh ayat songsang (i)
2
3
1
Membeli buku
di kedai itu
dia

Contoh ayat songsang (ii)
2
1
3
Membeli buku
dia
di kedai itu

Contoh ayat songsang (iii)
3
1
2
Di kedai itu
dia
membeli buku

Contoh ayat songsang (iv)
3
2
1
Di kedai itu
membeli buku
dia


Tatabahasa : Ayat Pasif


AYAT PASIF
Ayat pasif terbentuk apabila objek dalam ayat pasif transitif bertugas sebagai subjek, contohnya seperti ayat di bawah ini.
Saya sudah melaksanakan kerja itu semalam. (Ayat aktif= pelaku sebagai subjek)
                                                         Objek

Kerja itu sudah saya laksanakan semalam. (Ayat Pasif=objek sebagai subjek)
  Subjek

Jenis-jenis Ayat Pasif
Terbahagi kepada:
1. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
2. Ayat pasif dengan kata ganti diri ketiga.
3. Ayat pasif berimbuhan ‘ber...- dan ‘ke-...-an’
4. Ayat pasif berimbuhan ‘ter-...’
5. Ayat pasif dengan perkataan ‘kena’ yang hadir sebelum kata kerja.

1.  Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
                Kata ganti nama orang pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja pasif berimbuhan ‘di-‘. Oleh itu, kata ganti nama diri orang pertama (aku, saya, kami, kita, patik, hamba) dan kata ganti nama orang kedua (anda, awak, engkau, kamu, kalian) haruslah berada di hadapan kata kerja (tanpa imbuhan ‘di’).
Contoh:
                Kerja itu sudah saya laksanakan semalam (√) – ayat pasif
                Kerja itu sudah dilaksanakan oleh saya semalam. (X)
                (Saya sudah melaksanakan kerja itu semalam. – ayat aktif transitif)

                Rumah itu telah kami cat bersama-sama. (√)
                Rumah itu telah dicat oleh kami bersama-sama. (X)
                (Kami telah mengecat rumah itu bersama-sama. – ayat aktif transitif)

                Cerita seram itu telah kalian dengar. (√)
                Cerita seram itu telah didengar oleh kalian. (X)
                (Kalian telah mendengar cerita seram itu. – ayat aktif transitif)

                Hutang itu mesti engkau jelaskan esok. (√)
                Hutang itu mesti dijelaskan oleh engkau esok. (X)
                (Engkau mesti menjelaskan hutang itu esok.- ayat aktif transitif)

*Walau bagaimanapun, kata kerja berimbuhan ‘ter’ boleh menerima kata sendi ‘oleh’ yang diikuti kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua. Contohnya seperti ayat di bawah ini.
               
                Meja yang besar itu terangkat oleh saya. (√)

Nota:
Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua mesti ditulis bersebelahan dengan kata kerja pasif tanpa imbuhan awalan ‘di’ (hukum aneksi persona). Kesalahan berlaku jika kata-kata lain seperti kata bantu (telah, perlu, sudah, akan dll.) disisipkan antara pelaku dengan kata kerja pasif.
Contoh:
                Kereta itu awak harus pandu. (X)
                Kereta itu harus awak pandu. (√)

                Kerja itu kami sedang siapkan. (X)
                Kerja itu sedang kami siapkan. (√)

                Tuan Pengetua saya akan temui esok. (X)
                Tuan Pengetua akan saya temui esok. (√)

2. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri ketiga (termasuk pelaku = kata nama khas dan kata nama am).
                Kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerjapasif ‘di-’
Contoh:
                Motosikal itu telah ditunggang oleh Rahim kelmarin. (√)
                Motosikal itu telah Rahim tunggang kelmarin. (X)

                Kerusi dan meja itu sudah disusun oleh murid kelas 3A pagi tadi. (√)
                Kerusi dan meja itu sudah murid kelas 3A susun pagi tadi. (X)

                Bola itu ditendang oleh Helmi dengan kaki kiri. (√)
                Bola itu ditendang dengan kaki kiri oleh Helmi. (√)
                Bola itu ditendang dengan kaki kiri Helmi. (X)
                Bola itu Helmi tendang dengan kaki kiri. (X)

                Nota : Kata sendi ‘oleh’ boleh digugurkan jika tidak menjejaskan makna.
Contoh:
                Motosikal itu telah ditunggang Rahim kelmarin. (√)
                Kerusi dan meja itu disusun pengawas sekolah pagi tadi. (√)

                Perhatian : Jika kata sendi ‘oleh’ terletak jauh daripada kata kerja, maka ‘oleh’ tidak boleh digugurkan kerana akan menjejaskan makna ayat.
Contoh:
                Motosikal itu telah ditunggang kelmarin oleh Rahim. (√)
                Motosikal itu telah ditunggang kelmarin Rahim. (X)

3. Ayat pasif berimbuhan (ber-.., dan ke-...-an)
Contoh:
                Baju Raju belum bercuci lagi (belum dicuci).
                Kumisnya itu belum bercukur (belum dicukur).
                Seluruh dunia kegemparan oleh serangan Amerika itu (ditimpa rasa gempar).
                Rumah Pak Abu kecurian petang semalam. (ditimpa kejadian curi)
                Aminah kehujanan ketika pulang dari sekolah (ditimpa hujan)

4. Ayat pasif berimbuhan ‘ter-...’
                (a)          sudah di-
                                terasing                =             sudah diasingkan
                                terhasil                 =             sudah dihasilkan

                (b)          keupayaan atau kemampuan
                                Novel yang tebal itu tidak terbaca oleh saya.
                                Batu yang besar itu tidak terangkat oleh mereka.
                                Gunung Ledang yang terkenal dengan legendanya terdaki oleh kami.

                (c)          Imbuhan awalan ‘ter’ yang membawa maksud ‘tidak sengaja’ (juga digunakan dalam ayat aktif transitif)
                               terbawa                =             tidak sengaja membawa / dibawa
                               tersepak               =             tidak sengaja menyepak / disepak
                               tertembak           =             tidak sengaja menembak / ditembak
                Contoh ayat:      Pemburu itu tertembak rakannya sendiri (ayat aktif transitif)
                                                Rakannya sendiri tertembak oleh pemburu itu. (ayat pasif)

5. Ayat pasif dengan perkataan ‘kena’.
                Ayat pasif jenis ini mengandungi perkataan ‘kena’ di hadapan kata kerja dasar yang tidak menerima imbuhan awalan.
                Contoh:
                                Anak ahli korporat itu kena culik.
                                Budak nakal itu kena rotan oleh bapanya.
                                Pencuri itu kena tangkap oleh polis.
                                Ah Chong kena kejar oleh anjing.

6. Ayat pasif yang mempunyai DUA objek
                Contoh :               (1) Upin membelikan Ipin          sebatang pembaris (ayat aktif)
                                                                                      (objek tepat)                  (objek sipi)
                                                (2) Upin menghadiahi Ipin          sebuah buku (ayat aktif)
                                                                                         (objek tepat)     (objek sipi)

Nota: Apabila ayat di atas dipasifkan hanya objek tepat sahaja yang bertugas sebagai subjek dalam ayat. Jika objek sipi yang dibawa ke hadapan (bertugas sebagai subjek) ayat itu dianggap tidak gramatis.
Contoh:
                (1a)        Ipin dibelikan sebatang pembaris oleh Upin (√)
                                Sebatang pembaris dibelikan kepada Ipin oleh Upin. (X)
                (2a)        Ipin dihadiahi sebuah buku oleh Upin. (√)
                                Sebuah buku dihadiahi oleh Upin kepada Ipin. (X)

Tatabahasa : Kata Majmuk


KATA MAJMUK
Ada dua bentuk ejaan kata majmuk, iaitu ditulis secara terpisah dan bercantum. Pada dasarnya semua kata majmuk ditulis secara terpisah. Ada tiga jenis kata majmuk yang ditulis terpisah.
Kata Majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas.
Contohnya : guru besar, tengah hari, terima kasih, kapal terbang, Menteri Besar, Setiausaha Politik.
Kata Majmuk yang merupakan istilah khusus.
Contohnya : garis pusat, atur cara, lut sinar, mata pelajaran, kertas kerja, pita suara, reka bentuk.
Kata Majmuk yang membawa maksud simpulan bahasa.
Contohnya: tumbuk rusuk, gulung tikar, anak emas, kaki bangku, ringan tulang.
Namun begitu, terdapat juga kata majmuk yang ditulis secara bercantum kerana penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan. Dalam Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993:75), antara kata majmuk yang ditulis bercantum ialah:

antarabangsa
beritahu
bumiputera
jawatankuasa
kerjasama

olahraga
matahari
kakitangan
setiausaha
sukarela

tanggungjawab
tandatangan
warganegara
pesuruhjaya
suruhanjaya

Selain itu, kata majmuk yang ditulis akan berubah menjadi kata majmuk yang ditulis serangkai apabila menerima apitan , misalnya pengenalpastian, disatupadukan, menandatangani, melipatgandakan dan dikuatkuasakan.
Cara Mengenal Kata Majmuk
Kata majmuk tidak dapat menerima sebarang penyisipan antara perkataan yang membentuk kata majmuk, contohnya:
·         Tandatangan tidak dapat disisipkan kata yang untuk membentuk tanda yang tangan.
·         Urus setia tidak dapat disisipkan kata yang untuk membentuk urus yang setia.
·         Kakitangan tidak dapat disisipkan dan bagi membentuk kaki dan tangan
·         Tanah air tidak dapat disisipkan dan bagi membentuk tanah dan air.
Selain itu, kata majmuk mempunyai makna yang tertentu, yang berbeza daripada kata-kata asal yang membentuk kata majmuk tersebut. Misalnya:
·         Sapu tangan merupakan kata majmuk kerana merujuk kepada kain segi empat dan berlainan daripada makna biasa sapu dan tangan.
·         Bumiputera yang membawa makna tertentu yang terdiri daripada dua kata dasar bumi dan putera.
Golongan Kata Majmuk
Kata majmuk dapat digolongkan kepada golongan yang berikut ini.
Penggolongan Kata Majmuk
Contoh Perkataan
Kata Nama Majmuk
guru besar, balai raya, tapian gelanggang, cakar ayam, bulan madu, Menteri Besar, Naib Canselor,  ketua murid, warganegara, ketidakadilan, persuratkhabaran, kebolehpercayaan, tandatangan, warganegara, setiausaha.
Kata Kerja Majmuk
hapus kira, ambil alih, lipat ganda, kenal pasti, terima kasih, gulung tikar, bersatu padu, mereka bentuk, menandatangani, bertanggungjawab, berlatarbelakangkan.
Kata Adjektif Majmuk
merah jambu. Terang hati, kuning langsat, muda remaja, panas terik, sukacita, dukacita.
Kata Tugas Majmuk
bagaimana, apabila, barangkali, kadangkala, walhal, daripada, kepada, mana lagi.

Kesilapan dalam ejaan kata majmuk berganda.
Penggandaan unsur pertama akan dieja terpisah dan penggandaan hanya berlaku pada unsur pertama sahaja.

Surat khabar-surat khabar dijual di kedai itu (X)
Surat-surat khabar dijual di kedai itu. (√)
Ibu bapa-ibu bapa diminta hadir ke sekolah. (X)
Ibu-ibu bapa diminta hadir ke sekolah. (√)