KATA
BANTU
Kata bantu ialah jenis perkataan yang bertugas membantu
frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Kata bantu menimbulkan makna
tambahan dari segi aspek waktu atau ragam dalam binaan ayat. Kata bantu dapat
dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu
kata bantu aspek dan kata bantu ragam.
(i) Kata bantu aspek menimbulkan suasana
perbezaan masa iaitu sama ada masa lampau, masa ini (kini) atau masa
hadapan. Bentuk-bentuk kata bantu aspek yang dominan dalam kalangan penutur
jati bahasa Melayu ialah telah, sudah, baru, pernah, sedang, masih, akan, mula dan belum.
Kata
Bantu Aspek
|
||
Masa
lampau
|
Masa
ini (kini)
|
Masa
hadapan
|
telah
sudah
pernah
selalu
|
sedang
tengah
masih
|
akan
belum
|
Contoh ayat:
Masa lampau
1. Pekerja
industri itu telah pulang ke rumah.
2. Murid-murid
itu sudah bersarapan.
3. Kami pernah melawat ke Sabah.
4. Aminah
selalu teringat akan gurunya yang
sudah bersara itu.
Masa ini (Kini)
5. Ah
Meng sedang membaca komik.
6. Mutusamy
tengah menyiapkan kerja khususnya.
7. Puan
Siti masih memasak di dapur.
Masa Hadapan
8. Johari
akan ke Kuala Lumpur esok.
9. Baju
itu belum berbasuh lagi.
Kata bantu aspek tertentu boleh hadir bersama-sama tanpa
menjejaskan makna dalam binaan kata kerja. Sila lihat ayat contoh yang berikut
ini.
10. belum + pernah
Muhammad
Hanif belum pernah melawat ke Kuala
Lumpur.
11. masih + belum
Harizah
masih belum menjamah kuetiau
tersebut.
Walau bagaimanapun, ada sesetengah kata bantu aspek tidak boleh hadir
bersama-sama atau berderetan, malah binaan ayat yang terhasil juga tidak
gramatis. Sila lihat ayat contoh yang berikut:
12. Gadis itu akan belum berumah tangga
lagi. (X)
13. Banyak orang akan sedang mengikuti
ulasan langsung pertandingan bola
sepak
itu. (X)
14. Melissa belum akan menyiapkan tugasan
sekolahnya. (X)
Ayat (12 hingga 14) di atas menyalahi rumus tatabahasa Melayu. Oleh
itu, pengguna bahasa Melayu baku perlu berhati-hati dalam hal ini.
(ii) Kata
bantu ragam berperanan untuk menyatakan atau menerangkan ragam atau suasana
perasaan yang berhubung dengan perbuatan yang dilakukan. Bentuk kata bantu
ragam yang lazim diungkapkan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu baku ialah hendak,
mahu, harus, mesti, boleh, dapat, perlu, wajib, enggan dan patut.
Kata
Bantu Ragam
|
|||
Mesti
melakukan (sesuatu perbuatan)
|
Hendak
melakukan (sesuatu perbuatan)
|
Berkeupayaan
melakukan (sesuatu perbuatan)
|
Pengizinan
melakukan (sesuatu perbuatan)
|
harus
|
hendak
|
dapat
|
boleh
|
Mesti
|
|||
perlu
|
mahu
|
||
wajib
|
Kata
Bantu Ragam
|
|
Tidak
mahu melakukan (sesuatu perbuatan)
|
Mahu
atau tidak mahu melakukan
(sesuatu perkara)
|
enggan
|
mungkin
|
Berdasarkan jadual di atas, yang berikut ini
ialah ayat contoh bagi meningkatkan kefahaman pembaca tentang kata bantu ragam:
Mesti
melakukan (sesuatu perbuatan)
15. Semua murid harus cepat ke kelas supaya tidak
dikenakan tindakan disiplin.
16. Bil elektrik bulan
lepas mesti dijelaskan pada hari ini
juga.
17. Kita perlu berhemah semasa berurusan dengan
sesiapa sahaja.
18. Umat Islam wajib berpuasa pada bulan Ramadan
kecuali mereka yang tidak berupaya.
Hendak melakukan (sesuatu
perbuatan)
19. Ibu hendak ke pasar Chowrasta.
20. Banyak orang kini mahu memegang jawatan tinggi.
Berkeupayaan melakukan
(sesuatu perbuatan)
21. Mereka dapat pulang ke rumah pada cuti hujung
minggu ini.
22. Siti Faezah dapat melanjutkan pelajarannya ke
peringkat sarjana.
Pengizinan melakukan (sesuatu
perbuatan)
23. Murid-murid boleh ke tandas sekiranya mendapat pas
keluar daripada guru.
24. Mereka boleh mengikuti rombongan sekolah ke
Johor Bahru kerana mendapat keizinan
daripada ibu bapa masing-masing.
Tidak mahu melakukan (sesuatu
perbuatan)
25. Mereka enggan memakai kemeja putih yang jarang
itu.
26. Ali enggan menyertai pasukan Bulan Sabit
Merah kerana dia tidak berminat.
Mahu atau tidak mahu
melakukan (sesuatu perbuatan)
27. Siew Lin mungkin tidak akan datang kerana dia
kurang sihat.
28. Mariamah mungkin akan berpindah ke sekolah baharu
kerana keluarganya akan berpindah
ke daerah lain.
*Rumus tatabahasa Melayu juga membenarkan gandingan berturutan atau berpasangan
dalam binaan ayat yang menggunakan kata bantu ragam. Sebagai contoh, sila lihat
ayat yang berikut ini.
29. harus + mahu
Salmiah harus mahu
menunaikan rukun Islam yang kelima pada tahun ini.
30. harus + dapat
Encik Daud harus dapat menjawat Guru Cemerlang
kerana mempunyai prestasi yang amat
membanggakan sepanjang tiga tahun lalu.
31. mesti + mahu
Encik Lim mesti mahu menghadiri majlis perjumpaan
alumni ke-40 sekolah lamanya kerana
ingin menemui rakan-rakan sekolahnya.
32. mesti + dapat
Munirah mesti dapat mencapai 8A dalam
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia kerana dia
rajin mengulangkaji pelajarannya.
Seperkara lagi, ada sesetengah
kata bantu ragam yang tidak boleh hadir bersama-sama. Sebagai contoh, sila
lihat ayat yang berikut:
33. Ah Chong hendak mahu makan laksa walaupun tidak
berselera. (X)
34. Mohan hendak harus membawa keluarganya ke
Bukit Fraser. (X)
35. Hashim hendak mesti menyiapkan tugasan
sekolahnya pada hari ini. (X)
Ayat contoh (33 hingga 35) di atas menyalahi rumus tatabahasa Melayu.
Oleh hal yang demikian, pengguna bahasa Melayu baku sentiasa cakna akan hal ini
agar dapat menghasilkan ayat yang gramatis.
*Selain itu, kata bantu aspek tertentu boleh hadir bergandingan dengan kata bantu ragam, waima secara
mendahuluinya atau ,mengikutinya. Sebagai contoh, sila lihat ayat yang berikut
ini.
Kata Bantu Aspek + Kata Bantu
Ragam
36. Pak Husin sedang hendak mengambil wuduk.
37. Razif belum hendak pulang ke rumahnya kerana
hendak menghabiskan kerjanya.
Kata Bantu Ragam + Kata Bantu
Aspek
38. Hamdiah mesti akan tiba sebentar lagi.
39. Nasser harus sudah makan malam.
Di samping itu, dalam binaan ayat yang merangkumi frasa adjektif,
elemen-elemen kata bantu dapat membantu mendukung pelbagai maksud. Sila lihat
ayat contoh yang berikut ini.
Kata Bantu + Kata Adjektif
40. Pekebun itu masih
kuat mengerjakan ladangnya.
41. Budak yang diserang
leukimia itu sudah kurus kerana hilang selera makan.
Kata Bantu + Kata Penguat +
Kata Adjektif
42. Fizikal kanak-kanak
yang berusia lima tahun itu masih agak kecil berbanding dengan
kanak-
kanak seusianya.
43. Belum terlalu lewat untuk
mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada kaum Cina pada hari ketiga
Tahun baru Cina.
Kata Bantu + Kata Adjektif +
Kata Penguat
44. Encik Rahmat
memberitahu kawannya bahasa masih awal sangat untuk meramalkan
pasukan bola sepak yang akan menjuarai Piala Malaysia
tahun ini.
45. Pesakit barah itu sudah
baik betul setelah doktor
menggunakan kaedah baharu untuk
mengubatinya.
Kata bantu + Kata Adjektif +
Kata Adjektif
46. Walaupun tinggal di
Kenya selama 10 tahun, Amira masih putih mulus dan ceria.
47. Pak Mat dan Mak Minah
masih
riang gembira menyambut anak mereka pulang walaupun
mereka dalam keadaan uzur.
Dalam ayat songsang, unsur
kata bantu boleh dikehadapankan bagi tujuan penegasan dalam konstituen
predikat. Sila lihat contoh ayat yang berikut ini.
Pendepanan Kata Bantu dengan
Kata Kerja
48. a) Para atlet itu / masih berlatih.
b) Masih
berlatih / para atlet itu.
49. a) Pengantin perempuan belum tiba.
b) Belum
tiba pengantin perempuan.
Pendepanan Kata Bantu dengan
Kata Adjektif
50. a) Buah itu belum tentu segar.
b) Belum
tentu segar buah itu.
51. a) Masjid Negara masih utuh lagi.
b) Masih
utuh lagi Masjid Negara.
*Unsur kata bantu boleh juga hadir dalam binaan frasa sendi nama
dan beberapa unsur kata yang lain. Perhatikan ayat contoh yang berikut ini.
Kata Bantu + Kata Sendi Nama
+ Kata Nama Arah + Frasa Nama + Ayat Komplemen
52. Sharifah telah ke Singapura untuk menziarahi
sepupunya.
53. Pasukan MERCY akan ke
China / untuk membantu mangsa banjir di
sana.
Kata Bantu + Kata Sendi Nama
+ Kata Nama Arah + Frasa Nama + Keterangan
54. Orang tua itu masih di tepi tasik setiap senja.
55. Abang Nizam akan ke bawah rumah dengan sepupunya.
Dalam binaan frasa sendi nama di atas, kehadiran unsur
kata sendi nama dan frasa nama adalah wajib manakala kehadiran unsur-unsur kata
nama arah, ayat komplemen dan keterangan digunakan secara pilihan (boleh
digugurkan jika tidak diperlukan)
*Binaan frasa kerja yang menggunakan unsur kata bantu dapat
dilihat dalam ayat yang berikut ini.
Kata Bantu + Kata Kerja Transitif
+ Objek + Keterangan
56. Encik Zul akan mengusahakan perniagaan peralatan
kesihatan di bandar Maran, Pahang.
57. Puan Asmah hendak membincangkan permasalahan bahasa
rojak dalam Seminar Bahasa
Melayu Antarabangsa.
Kata Bantu + Kata Kerja Tak
Transitif + Pelengkap + Keterangan
58. Hasiah masih tinggal di Muar, Johor dengan Noor
Rehan.
59. Saiful sedang berwirid di dalam kamar.
Kata Bantu + Kata Kerja Tak
Transitif + Ayat Komplemen + Keterangan
60. Wan Lijah telah berjaya untuk mendapat markah
cemerlang dalam temu duga itu.
61. Encik Norman telah berjaya dalam peperiksaan Penilaian
Tahap Kecekapan baru-baru ini.
Kesimpulannya, penggunaan kata bantu aspek dan kata
bantu ragam yang menjadi elemen penting bagi frasa kerja dalam binaan ayat
bahasa Melayu banyak membantu pengguna bahasa untuk menghasilkan ayat yang
gramatis dan bermakna serta jelas penyampaiannya. Pengguna bahasa yang komited
dan celik tatabahasa dapat memartabatkan bahasa Melayu dalam aspek morfologi,
sintaksis dan leksikon sama ada dalam pertuturan mahupun penulisan.
No comments:
Post a Comment