FUNGSI –nya DALAM AYAT
Dalam Tatabahasa
Dewan (1993), -nya merupakan kata ganti nama diri orang ketiga yang diletakkan
pada akhir kata sahaja. Ganti nama diri ketiga, -nya digunakan apabila kita
tidak mahu menyebut nama orang yang kita bercakap tentangnya sekali atau
berulang-ulang kali. Sebagai contoh:
1. Saya amat
simpati akan dirinya. (Saya sangat simpati akan Aina.)
2. Saya memarahi
Ahmad kerana dia telah memecahkan pasunya yang mahal itu. (Saya
memarahi Ahmad kerana dia telah memecahkan pasu dia yang mahal itu.)
Fungsi –nya juga
dapat digantikan dengan dia atau beliau. Sebagai contoh:
3. Hantar beg itu
kepadanya. (Hantar beg itu kepada dia/beliau.)
4. Doktor Aliff
telah menghantar surat peletakan jawatan kepada majikannya. (Doktor Aliff
telah menghantar surat peletakan jawatan kepada majikan beliau.)
Penggunaan –nya
yang merujuk kepada Tuhan, ditulis dengan huruf besar dan didahului oleh tanda
sempang (-). Penggunaannya terdapat dalam doa, seperti;
5. “Hanya
kepada-Nya tempat aku mengadu dan bermohon.”
Fungsi –nya sebagai
kata tugas dalam Tatabahasa Dewan terdiri daripada kata penekan dan kata
pembenda. –nya sebagai kata penekan memberikan penegasan kepada kata yang
bergabung dengannya. –nya jenis ini juga digolongkan sebagai –nya penegas.
Misalnya:
6. Sesungguhnya,
budak itu telah difitnah sebelum ini.
7. Pokok kelapa itu
nampaknya
akan tumbang.
8. Bahawasanya,
tuntutan saman itu perlu diteruskan bagi membersihkan nama baik kita.
Kata pembenda
menurut Tatabahasa Dewan ialah bentuk kata yang menjadikan sesuatu perkataan
yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama. Sebagai contoh –nya sebagai
kata pembenda yang hadir pada akhir kata sifat itu mengubahkan kata sifat itu
menjadi kata nama.
Contohnya:
9. Bukan kepalang rindunya
kepadaku.
10. Dia menolak
batang kelapa itu dengan kuatnya.
Fungsi –nya pada
akhir kata nama membawa makna milik. Contohnya:
11. Kunci keretanya
telah hilang.
12. Rumah di atas
puncak bukit itu rumahnya.
Penggunaan –nya
dalam ayat berfungsi sebagai objek kata kerja transitif.
13. Lebai Musa
telah menutupnya dengan papan.
14. Moin telah mengecatnya
setelah didesak oleh ibunya.
15. Halim menumbuknya
beberapa kali.
Perkataan –nya juga
digunakan untuk merujuk kepada perkataan atau perkara yang dinyatakan
sebelumnya. Pada mulanya, Ahmad hanya
mengharapkan dia lulus sahaja dalam peperiksaan itu. Namun, harapannya bertukar apabila melihat
abangnya telah memperoleh ijazah kelas pertama.
Fungsi –nya dapat
pula merujuk kepada penyertaan. –nya membawa makna ‘berserta’ atau
‘bersama-sama’.
16. Siapakah yang
belajar dengannya semalam.
17. Ridzuan sedang
bergurau dengannya di depan rumah.
-nya juga
menunjukkan manfaat. Ada pihak lain yang mendapat manfaat daripada sesuatu
perbuatan.
18. Sudin
menghadiahkan jam tangan yang mahal kepadanya.
19. Ibu memasakkan
bubur untuk tetamunya.
Penanda wacana juga
menggunakan –nya.
20. Kita mestilah
berfikir semasak-masaknya apabila membuat pilihan. Seandainya, kita salah
membuat pilihan, maka musnahlah impian kita.
21. Kesimpulannya,
semua pihak perlulah bekerjasama untuk menjayakan wawasan negara.
Kesilapan dalam penggunaan –nya.
1. Kata ganti diri
ketiga ia dan nya tidak boleh digabungkan menjadi ‘ianya’.
Contoh:
a. Penagihan dadah dalam kalangan pelajar perlu dibanteras segera
kerana bimbang ianya akan menular. (X)
b. Penagihan dadah dalam kalangan pelajar perlu dibanteras segera
kerana bimbang perbuatan itu akan menular. (√)
2. Ayat yang hendak
dipasifkan, bentuk –nya harus digantikan dengan kata atau frasa nama yang utuh. Binaan
ayat tidak dapat diterima, jika –nya tidak digantikan. Rujuki ayat 22 dan 24 di
bawah ini.
22. Nya telah ditutup oleh Lebai
Musa dengan papan (X)
23. Lubang telah ditutup oleh
Lebai Musa dengan papan. (√)
24. Nya telah dicat oleh Moin
setelah didesak oleh ibunya. (X)
25. Bilik telah dicat oleh Moin
setelah didesak oleh ibunya. (√)
26. Nya ditumbuk oleh Halim
beberapa kali. (X)
27. Ahmad ditumbuk oleh Halim
beberapa kali. (√)
Terima kasih atas info.
ReplyDeleteAdakah perkataan -nya boleh digabungkan dengan perkataan "seolah-olah"?
ReplyDeleteContoh ayat: Kalau kamu berkata begitu, seolah-olahnya kamu menuduh saya mencuri.
Pada pendapat saya, dalam contoh ayat di atas, perkataan -nya itu adalah tidak diperlukan untuk menyampaikan maksud ayat kerana jika digugurkan perkataan -nya dalam ayat itu, ia masih menyampaikan maksud yang sama.
Kalau kamu berkata begitu, SEOLAH-OLAH kamu menuduh saya mencuri.
Untuk itu saya berpendapat perkataan seolah-olah tidak perlu sama sekali disertakan dengan -nya dalam mana-mana keadaan jua. Adakah betul pendapat saya?