9 Mar 2014

Ayat Aktif dan Ayat Pasif



AYAT AKTIF

Ayat aktif dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:
(a) Ayat aktif transitif
(b) Ayat aktif tak transitif
(a) Ayat Aktif Transitif

Ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja transitif, iaitu yang diikuti oleh frasa nama sebagai objek atau unsur penyambutnya.
1. Saya mengelap tingkap.
2. Ibu menggoreng ikan.
3. Kami menghormati guru.
4. Beliau merasmikan majlis itu.
5. Merokok membahayakan kesihatan.
6. Bersukan menyihatkan badan.
7. Adik bermain bola.

(b) Ayat Aktif Tak Transitif
Ayat aktif tak transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif, iaitu yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambutnya.

1. Adik menangis.
2. Kakak tidur.
3. Amran melukis.
4. Lydia bernyanyi.
5. Kami berehat.
6. Emak memasak.
7. Adik mandi.

*Hanya ayat aktif transitif dapat dipasifkan kerana mempunyai objek.

AYAT PASIF
Ayat pasif dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:
a) Ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif
b) Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua
c) Ayat pasif dengan kehadiran kata bantu pasif "kena"

(a) Ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif
1. Kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerja pasif di- dan ter-.
2. Hanya digunakan untuk kata ganti nama diri ketiga.
3. Ayat contoh:
(i) Pokok bunga itu ditanam oleh Li Mia.
(ii) Baju sekolah itu digosok oleh Jun Meng.
(iii) Kucing itu terlanggar oleh Sumudi.
(iv) Batu itu tersepak oleh Helen.

(b) Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua
1. Kedua-dua jenis kata ganti nama diri ini diletakkan di hadapan kata kerja dasar kerana tidak boleh menerima imbuhan kata kerja pasif di-.
2. Ayat contoh:
(i) Masalah itu akan saya selesaikan.
(ii) Bilik itu patut kamu kemaskan.
(iii) Titah tuanku akan patik junjung.
(iv) Keamanan negara harus kita kekalkan.

(c) Ayat pasif dengan kehadiran kata bantu pasif "kena"
1. Mengandungi perkataan "kena" di hadapan kata kerja dasar yang tidak menerima awalan.
2. Ayat contoh:
(i) Anjing liar itu kena tembak oleh pemburu.
(ii) Dia kena culik oleh pengganas itu.
(iii) Kanak-kanak itu kena pukul oleh ibunya.
(iv) Mereka kena denda oleh guru tingkatan.

No comments:

Post a Comment