23 Mar 2011

Tatabahasa:Kata Hubung

KATA HUBUNG
1. MAKSUD:
Kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menyambung atau menghubungkan sesuatu kata atau frasa dalam sesuatu ayat.


2. JENIS KATA HUBUNG:


a. Kata hubung gabungan:
Contoh : dan, serta, atau, sambil, lalu, maka
b. Kata hubung pancangan:
Contoh : sejak, semenjak, tetapi, kerana, hingga, sehingga, antara, apabila
c. Kata hubungan berpasangan:
Contoh : oleh sebab – maka, walaupun – namun, biarpun – tetapi, meskipun – namun, baik – mahupun, sama ada – mahupun, bukan sahaja - malah


3. KESALAHAN PENGGUNAAN KATA HUBUNG:


a. Jangan gunakan dua kali perkataan ‘dan’ untuk tujuan sama dalam satu ayat. (gunakan berselang dengan ‘serta’)Salah:-Dia bekerja dan berniaga pada waktu siang dan berehat pada waktu malam.
Betul:
-Dia bekerja dan berniaga pada waktu siang serta berehat pada waktu malam.


b. Gunakan ‘atau’ jika bermaksud membuat pilihan.
Salah:
-Anda boleh makan dan minum di kantin ini pada waktu rehat nanti.
-Kamu boleh berehat di hotel dan di rumah tumpangan.
Betul:-Anda boleh makan atau minum di kantin ini pada waktu rehat nanti.
-Kamu boleh berehat di hotel atau di rumah tumpangan.


c. Jika ‘atau’ digunakan, perkataan sebelumnya mesti diulang tulis.Salah:
-Awak datang dari Melaka atau Johor.
-Kamu boleh membawa buku sejarah atau matematik.
-Pelajar itu menghisap rokok atau dadah.
Betul:-Awak datang dari Melaka atau dari Johor.
-Kamu boleh membawa buku sejarah atau buku matematik.
-Pelajar itu menghisap rokok atau menghisap dadah.


d. ‘hingga/ sehingga’ tidak boleh digunakan bersama-sama dengan ‘ke’.
(pilih salah satu sahaja)
Salah:
-Dia belajar dari pagi hingga ke petang hari.
-Ibu menghantar saya dari rumah sehingga ke tepi jalan.
Betul:-Dia belajar dari pagi hingga petang hari.
-Dia belajar dari pagi ke petang hari.
-Ibu menghantar saya dari rumah sehingga tepi jalan.
-Ibu menghantar saya dari rumah ke tepi jalan.


e. ‘antara’ perlu diletak imbuhan 'di' jika menunjukkan ‘pilihan’ atau menunjukkan ‘had’ serta bergabung perkataan 'dengan'. (Jika umum, gunakan ‘antara’ : Antara faktor tersebut ialah …….)
Salah:
-Antara membaca dan menulis, saya lebih suka menulis.
-Rumahnya terletak antara kedai dengan pejabat pos.
Betul:-Di antara membaca dengan menulis, saya lebih suka menulis.
-Rumahnya terletak di antara kedai dengan pejabat pos.


f. Jika ‘di antara’ digunakan untuk ‘pilihan’ atau ‘had’, gunakan ‘dengan’ sahaja. (Jangan gunakan ‘dan’ )Salah:
-Di antara makan dan minum, adik saya lebih suka makan.
-Kedudukan rumahnya terletak di antara pejabat pos dan kedai.
Betul:-Di antara makan dengan minum, adik saya lebih suka makan.
-Kedudukan rumahnya terletak di antara pejabat pos dengan kedai.


g. Tidak ada kata hubung ‘oleh kerana’ dalam bahasa Malaysia.
Salah:
-Oleh kerana sakit, dia tidak hadir ke sekolah pada hari itu.
Betul:
-Oleh sebab sakit, dia tidak hadir ke sekolah pada hari itu.


h. Jika dua perkara bersifat bertentangan, gunakan ‘tetapi’.
Salah:-Dia kaya dan dia kedekut.
-Dia malas membuat ulang kaji dan lulus dengan cemerlang.
Betul:-Dia kaya tetapi dia kedekut.
-Dia malas membuat ulang kaji tetapi lulus dengan cemerlang.


i. Jika perkara pertama berlaku menyebabkan perkara kedua, gunakan ‘maka’.Salah:
-Dia malas membuat ulang kaji dan dia gagal dalam peperiksaan.
-Dia terjatuh dari atas pokok dan kaki kanannya patah.
Betul:-Dia malas membuat ulang kaji maka dia gagal dalam peperiksaan.
-Dia terjatuh dari atas pokok maka kaki kanannya patah.


j. ‘kerana’ tidak boleh diletak di depan ayat. ‘Sebab’ tidak boleh diletak di tengah ayat. ‘oleh sebab’ tidak boleh diletak di tengan ayat.
Salah:-Kerana terlalu gembira, dia melompat-lompat sehingga seliparnya putus.
-Dia tidak hadir ke sekolah sebab terlibat dengan ujian memandu kenderaan.
-Kami terpaksa membatalkan lawatan itu oleh sebab hari hujan.
Betul:-Oleh sebab terlalu gembira, dia melompat-lompat sehingga seliparnya putus.
-Dia tidak hadir ke sekolah kerana terlibat dengan ujian memandu kenderaan.
-Kami terpaksa membatalkan lawatan itu kerana hari hujan.

No comments:

Post a Comment