23 Mar 2011

Tatabahasa:Peribahasa(Beserta Latihan)

PERIBAHASA


Bahagian peribahasa SPM biasanya berkisar pada beberapa bentuk soalan. Hal ini dinyatakan di bawah:

A. Membina ayat daripada peribahasa:Contoh:
1. bagai menatang minyak yang penuh
Ibu bapa selalunya menyayangi dan menjaga anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh sehinggalah mereka dewasa.


2. seperti katak di bawah tempurung
Sikap Ng Khai Liang yang sukar menerima perubahan yang berlaku menyebabkan dia berfikiran tertutup seperti katak di bawah tempurung.


3. seperti paku dengan penukul
Pelajar yang malas dan bersikap seperti paku dengan penukul tidak mungkin dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.


4. ketam mengajar anaknya berjalan lurus
Masih ramai ibu bapa yang malas membaca tetapi mahu anak mereka rajin mengulang kaji pelajaran samalah seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.


B. Mengemukakan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi yang diberi:Contoh: Beri tiga peribahasa yang sesuai dengan cerita yang diberi.


1. Pak Hassan terkejut besar apabila anak yang dipelihara dengan penuh kasih sayang sanggup melakukan perkara yang terkutuk itu. Dia tidak menyangka bahawa anaknya itu terlibat dalam kes ragut yang telah memalukannya. Tindakan anaknya yang telah membunuh mangsa itu tidak dapat diselamatkan kerana anaknya akan menerima hukuman yang setimpal.


i. bagai menatang minyak yang penuh (memelihara dengan penuh kasih sayang)
ii. bagai menyonteng arang ke muka (memalukan)
iii. anak emas (anak kesayangan)
iv. air muka (diri, peribadi)


2. Pasangan pengantin di atas pelamin itu amat sepadan. Pasangan itu bakal melayari hidup sebagai suami isteri. Setiap pasangan perlu bersabar dan jika ada perselisihan pendapat, mereka perlu bertolak ansur serta saling memaafkan. Tanpa sikap tolak ansur sesebuah keluarga tidak akan dapat bertahan lama dan perasaan kasih saying akhirnya akan lenyap. Hal ini boleh menyebabkan perceraian berlaku.


i. bagai pinang dibelah dua.
ii. sedangkan lidah lagi tergigit.
iii. bagai embun di hujung rumput.


C. Mengemukakan peribahasa berdasarkan ayat yang diberi:Contoh:


1. Setelah Berjaya melepaskan dirinya daripada digigit anjing liar, gadis itu terpaksa pula bergelut dengan seorang lelaki yang hendak meragut beg tangannya.
* keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.


2. Walaupun telah lama tinggal di luar negara namun akhirnya Rony pulang semula ke kampung halamannya kerana berasakan kampung halamannya lebih tenteram.
* hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.


3. Apabila Encik Santos meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun yang lalu, keluarganya menjadi kucar-kacir dan saling berbalah.
* bagaikan anak ayam kehilangan ibu.


D. Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai:Contoh:


1. Tok penghulu kesal akan sikap penduduk kampung yang hanya membisu ketika mesyuarat dijalankan, tetapi mula bersuara apabila projek sudah dijalankan. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama …………(i)…………… Mereka sepatutnya tidak mengemukakan pendapat sesuka hati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana ……(ii)…….. Walau bagaimanapun, sebagai ketua tok penghulu akan berusaha untuk menyelesaikan masalah …………(iii)………..nya itu supaya dapat memuaskan hati semua pihak.


i. rumah siap pahat berbunyi
ii. mulut manusia lebih tajam daripada mata pedang / terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
iii. anak buah


Latihan 1:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.


1. bagaikan kera mendapat bunga
2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit
3. burung terbang dipipiskan lada
4. menegakkan benang yang basah
5. bagaikan telur dihujung tanduk
6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
8. matinya semut kerana gula
9. air dicincang tidak akan putus
10. bagaikan embun di hujung rumput


Latihan 2:Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.


1. seperti mendukung biawak hidup
2. sudah jatuh ditimpa tangga
3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
4. ditelan mati emak, dibuang mati bapak
5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
9. bagai mencurah air ke daun keladi
10. kuman di seberang laut Nampak, gajah di depan mata tak Nampak


Latihan 3:Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.


1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
4. seperti pelanduk dua serupa
5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
6. seperti ular kena palu
7. mati semut kerana gula
8. bagai mendapat durian runtuh
9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
10. mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan
Latihan 4:Beri peribahasa yang sesuai dengan ayat yang dinyatakan tersebut.


1. Kata-kata dan janji manis yang diberi oleh calon yang bertanding dalam pilihanraya itu tidak disukai oleh penduduk di kawasan itu kerana janji yang ditabur tersebut mempunyai maksud yang tertentu.


2. Selepas pertandingan memilih calon wakil rakyat itu berakhir, semua pihak yang bermusuhan telah berbaik-baik semula seperti sediakala.


3. Walaupun sudah sepuluh tahun berhijrah ke luar negara untuk mencari rezeki, namun kehidupan Encik Hamreesh masih juga susah apabila dia pulang ke kampung halamannya.


4. Walaupun berbadan besar dan kelihatan garang namun sebenarnya Encik Lin Cheng Heng seorang yang baik hari dan lemah lembut.


5. Walaupun cuba keluarga Encik Yow Weng Fai cuba menyembunyikan kisah anaknya terlibat dalam rasuah, namun akhirnya rahsia tersebut tersebar juga kepada orang ramai.


6. Hanya Chan Wei Jian sahaja yang nakal di kelas itu tetapi semua pelajar di sekolah itu menganggap pelajar kelas tersebut sebagai kelas pelajar-pelajar nakal.


7. Walaupun asalnya How Huai Lam seorang pelajar yang lembam namun setelah diajar dengan bersungguh-sungguh oleh guru-gurunya, akhirnya dia berjaya dalam peperiksaan itu dengan cemerlang.


8. Santos seorang pelajar yang tidak tahu bermain badminton tetapi cuba mengambil bahagian dalam pertandingan badminton peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


9. Setelah merantau di India lebih tujuh tahun, akhirnya Cik Liew Poh En pulang dan menetap semula di kampungnya yang terletak di Negeri Sembilan.


10. Perbuatan Tong Kuan Yee menasihati kekasihnya yang bernama Wong Du Hou itu supaya berhenti merokok sia-sia sahaja kerana tidak diendahkan sama sekali oleh Wong Du Hou.


Latihan 5:
Beri peribahasa yang sesuai dengan ayat yang dinyatakan tersebut.


1. Encik Surinder meminta pelajarnya bernama Khor Chean Foo membaiki komputernya tetapi akhirnya komputer itu semakin rosak teruk dan tidak dapat digunakan sama sekali.


2. Perbuatan Mathews itu sungguh melampau kerana dia menggunakan Santos untuk memikat hati adik perempuan Santos yang cantik itu.


3. Pada waktu hampir senja barulah para pelajar tingkatan satu dan tingkatan peralihan berduyun-duyun pulang ke rumah masing-masing.


4. Oleh sebab terlalu mengikut rasa marah setelah dirotan oleh guru disiplinnya akibat berambut panjang, Tan Yee Voong menyepak tiang gol itu sehingga menyebabkan kakinya patah.


5. Walaupun berani dan bijak dengan selok-belok di hutan itu tetapi Gan Yang tidak menunjuk-nunjuk kemampuannya itu kepada peserta perkhemahan tersebut.


6. Sejak pengurus itu bersara bersara, Michele Tan yang memangku jawatannya semakin sombong dan bersifat kejam kepada pekerja-pekerja bawahannya.


7. Sebagai rakyat negara asing yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki, pendatang asing mestilah menghormati undang-undang yang diguna pakai di Malaysia.


8. Tidak ada apa-apa yang lebih dipercayai dan bermakna oleh seseorang itu kecuali janji-janji yang telah diucapkannya kepada mereka.


9. Walaupun hanya memenangi pertandingan membaca berita peringkat sekolah namun berita kemenangan Lim Weng Hoi itu tersebar ke seluruh daerah Cheras.


10. Walaupun berbadan kecil dan kurus namun semua pelajar takut akan Azila yang garang dan pandai bersilat itu.


Latihan 6:Bagi setiap satu petikan yang diberi di bawah, kemukakan 3 peribahasa yang sesuai dengan cerita dan situasi tersebut.


1. Perbuatan Poon Ooi Yee memang tidak dapat dimaafkan. Ayahnya, Encik Poon Tan Chook benar-benar kecewa akan tindakan anak kesayangannya. Encik Poon sentiasa memenuhi kehendak Poon Ooi Yee dan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Tindakan Poon Ooi Yee menjual kereta Mercedes milik Encik Poon tanpa pengetahuannya sangat melampau. Hancur luluh hati isteri Encik Poon yang turut menyayangi anak tunggalnya itu. Dia tidak menyangka kebaikan yang telah diberi kepada Poon Ooi Yee selama itu dibalas dengan perbuatan yang tidak baik tersebut. Encik Poon berjanji akan menghukum anaknya yang tidak tahu mengenang budi dan jasa keluarganya itu. Perbuatan Poon Ooi Yee itu sungguh tidak bertanggungjawab.


2. Penduduk Taman Taynton View tidak mempercayai kata-kata pegawai itu kerana bagi mereka, kata-katanya mempunyai maksud tertentu. Mereka sudah serik dengan janji manis yang ditaburkan oleh pegawai itu dahulu. Sebenarnya pegawai itu pandai berkata-kata dengan menabur janji palsu bahawa penduduk taman itu akan menjadi jutawan sekiranya menjual tanah mereka untuk projek yang bakal dijalankan. Walau bagaimanapun, penduduk di taman itu kecewa kerana pegawai itu tidak dapat menyelesaikan tugas yang diamanahkan dan melakukan kerja itu separuh jalan. Sebelum itu penduduk berharap agar tugas yang dilakukan oleh pegawai itu dapat disempurnakannya.


3. Sikap Koh Shu Yin yang selalu ponteng kerja tidak disenangi oleh majikannya. Rakan-rakannya telah menasihatinya agar tidak mengulangi perbuatan buruk itu tetapi nasihat mereka sia-sia belaka. Malahan Koh Shu Yin mula berani tidur ketika majikannya tiada di pejabat. Pada satu hari, perbuatan buruk Koh Shu Yin tidak dapat disembunyikan lagi. Dia telah dimarahi oleh majikannya. Pada bila-bila masa sahaja dia boleh dibuang kerja. Nasibnya kini bergantung kepada budi bicara majikannya.


Latihan 7:Bagi setiap satu petikan yang diberi di bawah, kemukakan 3 peribahasa yang sesuai dengan cerita dan situasi tersebut.


1. Dalam keadaan sedih bercampur gembira, Lim Pei Pei akan menempuh alam perkahwinan mendahului kakaknya yang sulung. Bakal suaminya pula bukanlah sebangsa atau rakyat Malaysia tetapi berasal dari negara barat iaitu seorang rakyat Perancis. Selepas berkahwin, bakal suaminya akan membawanya bercuti selama dua minggu ke Eropah.


2. Setelah meninggalkan kampung halamannya lebih daripada 20 tahun, tiba-tiba Kou Chee Pet mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi menabur khidmat baktinya sebagai guru. Kata beliau, walaupun dia beroleh pelbagai kesenangan ketika bertugas di bandar, namun keseronokan yang diperolehnya di kampung tidak sama dengan keseronokan ketika bertugas di Bandar. Setelah kepulangannya ke kampung itu, beliau telah menjadi tajuk perbualan masyarakat kerana beliau merupakan seorang guru yang berdedikasi.


3. Sikap Yow Weng Fai yang malas amat dibenci oleh ibu bapanya terutama dalam aspek pelajaran. Sekali suruh barulah dia mahu memegang buku. Jika tidak, dia sentiasa asyik tidur. Cikgunya iaitu Encik Nazri sering menasihatinya bahawa semua pelajar boleh mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Walaupun seseorang itu sangat lemah dalam pelajaran, namun jika mereka berusaha, mereka pasti akan Berjaya. Perkara yang penting ialah seseorang itu mesti mempunyai kemahuan. Jika kita tidak mempunyai kemahuan atau keinginan, sudah tentulah kita tidak akan berjaya.

Jawapan Latihan Peribahasa SPM

Jawapan Latihan 1
1. bagaikan kera mendapat bunga
-Orang yang tidak tahu menghargai pemberian orang lain.
-Tidak berguna kita memberi hadiah basikal ini kepadanya kerana diabagaikan kera mendapat bunga dan tidak menghargai pemberian kita itu.
2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit.
-disebabkan seorang berbuat keburukan, nama kumpulan menjadi buruk.
-Sikap Ali yang suka berbuat jahat itu menyebabkan nama baik sekolah kita tercemar kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit.
3. burung terbang dipipiskan lada
-mengharapkan sesuatu yang belum pasti.
-Janganlah terlalu berharapkan sangat keuntungan pelaburan ini bagaiburung terbang dipipiskan lada kerana belum pasti lagi keuntungan anak menjelma.
4. menegakkan benang yang basah
-cuba menegakkan sesuatu yang salah atau tidak benar.
-Janganlah kamu cuba menegakkan benang basah kerana semua rakan kita telah tahu bahawa perkara itu tidak benar.
5. bagaikan telur dihujung tanduk
-dalam keadaan berbahaya.
-Sejak meminjam wang daripada along tempoh hari, hidupnya bagai telur di hujung tanduk.
6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
-orang berilmu yang merendah diri tidak akan hilang ilmunya.
-Walaupun pandai namun James sentiasa merendah diri kerana ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
-mendapat keuntungan yang banyak secara tiba-tiba.
-Manprit telah menjadi kaya-raya sejak berkahwin dengan anak jutawan itu dan bagaikan tikus jatuh di kepuk.
8. matinya semut kerana gula
-mendapat kesusahan kerana tamak akan harta benda.
-Oleh sebab terlalu tamak akan kuasa dan harta, akhirnya Johan hidup melarat kerana matinya semut kerana gula.
9. air dicincang tidak akan putus
-pergaduhan di antara adik-beradik tidak akan berpanjangan tetapi akan berbaik semula.
-Pergaduhan anak-anak Pak Samad tidak berpanjangan kerana air dicincang tidak akan putus.
10. bagaikan embun di hujung rumput
-kasih-sayang yang tidak berkekalan.
-Cinta Sam Kong kepada Winnie bagaikan embun di hujung rumput dan tidak berkekalan.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Jawapan Latihan 2
1. seperti mendukung biawak hidup
-membuat pekerjaan yang sukar dan berbahaya.
-Perbuatan awak menyertai kongsi gelap itu bagaikan mendukung biawak hidup.
2. sudah jatuh ditimpa tangga
-menerima nasib malang/ kesusahan yang bertimpa-timpa/ berterusan.
-Hidupnya bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga kerana selepas kematian anaknya, dia kematian isterinya pula.
3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
-mengutamakan orang lain daripada keluarga sendiri.
-Sikap Abu membiayai pengajian gadis itu bagaikan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan kerana keluarganya sendiri hidup dalam kedaifan.
4. ditelan mati emak, diluah mati bapak
-dalam keadaan serba salah.
-Sam Chong tidak tahu membuat pilihan untuk mengikut ibunya atau bapanya setelah mereka bercerai kerana ditelan mati emak, diluah mati bapa.
5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
-berbuat baik kerana sesuatu sebab yang tersembunyi.
-Saya tahu, Sabrina berbuat baik untuk memikat Manprit kerana kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah.
6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
-orang yang tamak akan rugi.
-Jangan terlalu tamak bagaikan anjing dengan bayang-bayang, nanti kamu sendiri yang rugi.
7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
-telah tahu keadaan sebenar walaupun hanya melihat luarannya sahaja.
-Saya tahu tujuan kamu datang ke rumah saya kerana sekilas ikan di air, sudahku tahu jantan betina.
8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
-membuat kerja bersungguh-sungguh sehingga mendatangkan hasil.
-Belajarlah dengan tekun hingga berjaya umpama genggam bara api biar sampai menjadi arang.
9. bagai mencurah air ke daun keladi
-membuat kerja dengan sia-sia.
-Nasihat guru kepadanya bagai mencurah air ke daun keladi kerana dia tidak pernah mahu mendengarnya.
10. kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak
-kesalahan orang lain yang sedikit kita nampak tetapi kesalahan kita sendiri yang besar kita tidak nampak.
-Janganlah asyik menyalahkan orang lain dan bersikap kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.
----------------------------------------------------------------------------------------
Jawapan Latihan 3
1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
-di mana ada punca rezeki/ keramaian, di situlah orang ramai berkumpul.
-Di tempat menjual loteri itu terlalu ramai orang berkumpul bagaikan lalat mengharung najis.
2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
-pembangunan yang tumbuh dengan pesat.
-Sejak Putrajaya dimajukan, kawasan petempatan di Bangi semakin majubagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
-usaha gigih yang berterusan.
-Jika kita gigih berusaha, lama-kelamaan kita akan menempa kejayaan kerana sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain.
4. seperti pelanduk dua serupa
-mempunyai wajah yang serupa.
-Saya menegur orang itu kerana saya menyangkanya Manprit Singh sedangkan dia hanya pelanduk dua serupa.
5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
-mendidik anak biarlah sejak mereka masih kecil.
-Ibu bapa perlu mendidik anak mereka sejak dari kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
6. seperti ular kena palu
-barisan yang bengkang-bengkok.
-Guru disiplin itu menjerit kerana terlalu marah apabila melihat barisan pelajar tersebut tidak lurus seperti ular kena palu.
7. mati semut kerana gula
(Sila rujuk maksud dan ayat di atas = soalan ulangan)
8. bagai mendapat durian runtuh
-mendapat keuntungan dengan banyak.
-Pada minggu lepas, Nazri mendapat durian runtuh apabila peniaga itu menghadiahkan beliau sebuah kereta baru.
9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
-dua orang yang rapat bergaul tetapi mempunyai cita-cita yang berbeza.
-Walaupun Ah Keong dan Rajoo sangat rapat, tetapi masing-masing mempunyai impian yang berbeza umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.
10. mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan
-mendengar sesuatu keuntungan yang belum pasti, apa yang telah ada dibuang/ ditinggalkan.
-Apabila mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan kerana apabila mendengar berita yang belum jelas bahawa dia akan mendapat pekerjaan baru itu, Ah Cun berhenti daripada kerja lamanya.
Jawapan Latihan 4:


1. Kata-kata dan janji manis yang diberi oleh calon yang bertanding dalam pilihanraya itu tidak disukai oleh penduduk di kawasan itu kerana janji yang ditabur tersebut mempunyai maksud yang tertentu.
Jawapan: Ada udang di sebalik batu / Seperti menanam tebu di tepi bibir(janji yang ada sesuatu di sebaliknya)


2. Selepas pertandingan memilih calon wakil rakyat itu berakhir, semua pihak yang bermusuhan telah berbaik-baik semula seperti sediakala.
Jawapan: Biduk berlalu kiambang bertaut (perselisihan faham akan kembali tenang/ baik semula)


3. Walaupun sudah sepuluh tahun berhijrah ke luar negara untuk mencari rezeki, namun kehidupan Encik Hamreesh masih juga susah apabila dia pulang ke kampung halamannya.
Jawapan: Bagai itik pulang petang (tiada perubahan sebelum atau selepasnya)


4. Walaupun berbadan besar dan kelihatan garang namun sebenarnya Encik Lin Cheng Heng seorang yang baik hari dan lemah lembut.
Jawapan: Meriam buluh (kelihatan garang tetapi sebenarnya baik dan lemah lembut)


5. Walaupun cuba keluarga Encik Yow Weng Fai cuba menyembunyikan kisah anaknya terlibat dalam rasuah, namun akhirnya rahsia tersebut tersebar juga kepada orang ramai.
Jawapan: Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia tak dapat ditutup / bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan sehelai daun/ pelepah. (sesuatu berita yang tidak baik akhirnya akan tersebar juga)


6. Hanya Chan Wei Jian sahaja yang nakal di kelas itu tetapi semua pelajar di sekolah itu menganggap pelajar kelas tersebut sebagai kelas pelajar-pelajar nakal.
Jawapan: Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit / kerana nila setitik, rosak susu sebelanga (seorang ahli berbuat keburukan, nama baik kumpulannya akan tercemar)


7. Walaupun asalnya How Huai Lam seorang pelajar yang lembam namun setelah diajar dengan bersungguh-sungguh oleh guru-gurunya, akhirnya dia berjaya dalam peperiksaan itu dengan cemerlang.
Jawapan: Belakang parang jika diasah lagikan tajam (Orang yang bodoh jika diajar akan menjadi pandai)


8. Santos seorang pelajar yang tidak tahu bermain badminton tetapi cuba mengambil bahagian dalam pertandingan badminton peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Jawapan: Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga (Jika tidak ada kemampuan janganlah melakukan sesuatu yang kita tidak mampu lakukan)


9. Setelah merantau di India lebih tujuh tahun, akhirnya Cik Liew Poh En pulang dan menetap semula di kampungnya yang terletak di Negeri Sembilan.
Jawapan: Bagai ikan pulang ke lubuk/ bagaikan belut pulang ke lumpur(balik semula ke kampung halaman setelah lama tinggal di tempat orang)


10. Perbuatan Tong Kuan Yee menasihati kekasihnya yang bernama Wong Du Hou itu supaya berhenti merokok sia-sia sahaja kerana tidak diendahkan sama sekali oleh Wong Du Hou.
Jawapan: Mencurah air ke daun keladi (membuat kerja yang sia-sia)
------------------------------------------------------------------------------------------
Jawapan Latihan 5:


1. Encik Surinder meminta pelajarnya bernama Khor Chean Foo membaiki komputernya tetapi akhirnya komputer itu semakin rosak teruk dan tidak dapat digunakan sama sekali.
Jawapan: Bagaikan tikus membaiki labu (menjadikan sesuatu lebih teruk rosaknya)


2. Perbuatan Mathews itu sungguh melampau kerana dia menggunakan Santos untuk memikat hati adik perempuan Santos yang cantik itu.
Jawapan: batu loncatan (menggunakan seseorang untuk mencapai sesuatu maksud)


3. Pada waktu hampir senja barulah para pelajar tingkatan satu dan tingkatan peralihan berduyun-duyun pulang ke rumah masing-masing.
Jawapan: Bagai itik pulang petang (balik dalam keadaan berbaris-baris)


4. Oleh sebab terlalu mengikut rasa marah setelah dirotan oleh guru disiplinnya akibat berambut panjang, Tan Yee Voong menyepak tiang gol itu sehingga menyebabkan kakinya patah.
Jawapan: ikut rasa binasa, ikut hati mati (melakukan perbuatan tanpa berfikir akan menyebabkan kesan yang buruk)


5. Walaupun berani dan bijak dengan selok-belok di hutan itu tetapi Gan Yang tidak menunjuk-nunjuk kemampuannya itu kepada peserta perkhemahan tersebut.
Jawapan: Ikut resmi padi, makin tunduk makin berisi (Orang bijak yang tidak suka menunjuk-nunjuk)


6. Sejak pengurus itu bersara bersara, Michele Tan yang memangku jawatannya semakin sombong dan bersifat kejam kepada pekerja-pekerja bawahannya.
Jawapan: seperti kaduk naik junjung (semakin berlagak setelah mendapat kenaikan pangkat)


7. Sebagai rakyat negara asing yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki, pendatang asing mestilah menghormati undang-undang yang diguna pakai di Malaysia.
Jawapan: Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak / di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung (mengikut adat resam di mana kita berada)


8. Tidak ada apa-apa yang lebih dipercayai dan bermakna oleh seseorang itu kecuali janji-janji yang telah diucapkannya kepada mereka.
Jawapan: Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya.(manusia dipercayai jika menunaikan janjinya)


9. Walaupun hanya memenangi pertandingan membaca berita peringkat sekolah namun berita kemenangan Lim Weng Hoi itu tersebar ke seluruh daerah Cheras.
Jawapah: Jangan ikut resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung (berita kejayaan yang tidak seberapa tetapi menjadi riuh di seluruh tempat)


10. Walaupun berbadan kecil dan kurus namun semua pelajar takut akan Azila yang garang dan pandai bersilat itu.
Jawapan: Kecil-kecil cili padi (walaupun berbadan kecil tetapi amat berani)
---------------------------------------------------------------------------------
Jawapan Latihan 6:
1. Perbuatan Poon Ooi Yee memang tidak dapat dimaafkan. Ayahnya, Encik Poon Tan Chook benar-benar kecewa akan tindakan anak kesayangannya. Encik Poon sentiasa memenuhi kehendak Poon Ooi Yee dan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Tindakan Poon Ooi Yee menjual kereta Mercedes milik Encik Poon tanpa pengetahuannya sangat melampau. Hancur luluh hati isteri Encik Poon yang turut menyayangi anak tunggalnya itu. Dia tidak menyangka kebaikan yang telah diberi kepada Poon Ooi Yee selama itu dibalas dengan perbuatan yang tidak baik tersebut. Encik Poon berjanji akan menghukum anaknya yang tidak tahu mengenang budi dan jasa keluarganya itu. Perbuatan Poon Ooi Yee itu sungguh tidak bertanggungjawab.
Jawapan:
-anak emas
-bagai menatang minyak yang penuh
-susu diberi, dibalas tuba


2. Penduduk Taman Taynton View tidak mempercayai kata-kata pegawai itu kerana bagi mereka, kata-katanya mempunyai maksud tertentu. Mereka sudah serik dengan janji manis yang ditaburkan oleh pegawai itu dahulu. Sebenarnya pegawai itu pandai berkata-kata dengan menabur janji palsu bahawa penduduk taman itu akan menjadi jutawan sekiranya menjual tanah mereka untuk projek yang bakal dijalankan. Walau bagaimanapun, penduduk di taman itu kecewa kerana pegawai itu tidak dapat menyelesaikan tugas yang diamanahkan dan melakukan kerja itu separuh jalan. Sebelum itu penduduk berharap agar tugas yang dilakukan oleh pegawai itu dapat disempurnakannya.
Jawapan:
-ada udang di sebalik batu
-tanam tebu di tepi bibir
-(cikgu lupa!!!!!!!! bagi kemudian)


3. Sikap Koh Shu Yin yang selalu ponteng kerja tidak disenangi oleh majikannya. Rakan-rakannya telah menasihatinya agar tidak mengulangi perbuatan buruk itu tetapi nasihat mereka sia-sia belaka. Malahan Koh Shu Yin mula berani tidur ketika majikannya tiada di pejabat. Pada satu hari, perbuatan buruk Koh Shu Yin tidak dapat disembunyikan lagi. Dia telah dimarahi oleh majikannya. Pada bila-bila masa sahaja dia boleh dibuang kerja. Nasibnya kini bergantung kepada budi bicara majikannya.
Jawapan:
-curi tulang
-bagai mencurah air ke daun keladi
-bagai telur di hujung tanduk.
---------------------------------------------------------------------------------
Jawapan Latihan 7:


1. Dalam keadaan sedih bercampur gembira, Lim Pei Pei akan menempuh alam perkahwinan mendahului kakaknya yang sulung. Bakal suaminya pula bukanlah sebangsa atau rakyat Malaysia tetapi berasal dari negara barat iaitu seorang rakyat Perancis. Selepas berkahwin, bakal suaminya akan membawanya bercuti selama dua minggu ke Eropah.
Jawpan:
-langkah bendul
-atas angin
-bulan madu


2. Setelah meninggalkan kampung halamannya lebih daripada 20 tahun, tiba-tiba Kou Chee Pet mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi menabur khidmat baktinya sebagai guru. Kata beliau, walaupun dia beroleh pelbagai kesenangan ketika bertugas di bandar, namun keseronokan yang diperolehnya di kampung tidak sama dengan keseronokan ketika bertugas di Bandar. Setelah kepulangannya ke kampung itu, beliau telah menjadi tajuk perbualan masyarakat kerana beliau merupakan seorang guru yang berdedikasi.
Jawapan:
-belut pulang ke lumpur/ ikan pulang ke lubuk
-hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
-(cikgu lupa!!!!!!! bagi kemudian)


3. Sikap Yow Weng Fai yang malas amat dibenci oleh ibu bapanya terutama dalam aspek pelajaran. Sekali suruh barulah dia mahu memegang buku. Jika tidak, dia asyik tidur. Cikgunya iaitu Encik Nazri sering menasihatinya bahawa semua pelajar boleh mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Walaupun seseorang itu sangat lemah dalam pelajaran, namun jika mereka berusaha, mereka pasti akan Berjaya. Perkara yang penting ialah seseorang itu mesti mempunyai kemahuan. Jika kita tidak mempunyai kemahuan atau keinginan, sudah tentulah kita tidak akan berjaya.
Jawapan:
-seperti paku dengan penukul
-belakang parang kalau diasah lagikan tajam
-di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

No comments:

Post a Comment